Public Health Malaysia (PHM), berkongsi kesedaran mengenai lawak lucah yang ditujukan kepada masyarakat khasnya, ibu tunggal.
Menerusi perkongsian di Facebook, PHM menegaskan ibu tunggal bukan bahan jenaka apatah lagi jika ia menyentuh soal tubuh, maruah dan isu seksual.
“Ibu tunggal bukan bahan lawak. Lagi-lagi bila lawak tu menyentuh tubuh, maruah, dan isu seksual. Bila kita gelak, kita sedang ajar orang lain bahawa menghina wanita itu “normal”, asalkan disalut dengan jenaka.
“Yang paling bahaya, ia jadi budaya tanpa sedar. Mula-mula “gurau je”. Lepas tu ayat tu berulang. Lama-lama kita terlanjur cakap benda yang sama, sebab dah biasa dengar dan dah kebas rasa.
“Bayangkan yang sedang menonton adalah wanita yang pernah bercerai, dia dengar macam maruahnya sah untuk dipermainkan. Anak-anak pula belajar satu perkara yang kejam, ibu orang boleh jadi hiburan. Keluarga yang tak pernah pilih situasi itu terpaksa menelan malu yang mereka tak minta. Sentiasa ingat … “Jika perkara sama berlaku pada ibu, isteri atau anak perempuan kita, adakah kita akan selesa?”,” kongsinya.

Menganggap maruah manusia bukan pentas hiburan, PHM berkongsi inisiatif yang perlu diambil supaya lawak lucah tidak terus menerus dinormalisasikan.
“Apa kita boleh buat, jangan normalisasikan. Tegur dengan ayat yang jelas dan tenang bahawa.. “Lawak macam ni merendahkan wanita dan bagi contoh buruk pada anak-anak.”
“Dalam ruang kita sendiri, letakkan sempadan. Jangan biar komen lucah dan hinaan hidup lama-lama. Maruah manusia bukan pentas hiburan. Kita boleh ketawa, tapi bukan dengan mengorbankan orang lain,” kongsinya.



