
Public Mutual mengumumkan pengagihan lebih RM90 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai lalu.
ANAK syarikat milik penuh Public Bank, Public Mutual mengumumkan pengagihan lebih RM90 juta bagi tujuh dana unit amanah kepada pelabur.
Syarikat pengurusan dana unit amanah swasta terbesar di Malaysia itu dalam satu kenyataan berkata, jumlah pengagihan kasar tersebut bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai lalu.
“Dana tersebut iaitu Public Bond Fund (Public Dana Bon) dengan 4.25 sen seunit dan Public Islamic Select Bond Fund (Public Dana Bon Terpilih Islamik) 4.00 sen seunit.
“Diikuti Public e-Income Fund (Public Dana e-Pendapatan) dengan 3.50 sen seunit dan Public Islamic Income Fund (Public Dana Pendapatan Islamik) pada 3.50 sen seunit,” katanya.
Selain itu, dana untuk Public e-Islamic Income Fund (Public Dana e-Pendapatan Islamik) diumumkan tiga sen seunit dan Public Optimal Growth Fund (Public Dana Tumbuh Optimal) pada 0.35 sen seunit.
Dana terakhir iaitu Public Far-East Property & Resorts Fund (Public Dana Hartanah & Resort Timur-Jauh) dengan nilai 0.20 sen seunit.
Tidak hanya menguruskan lebih 180 dana, Public Mutual juga merupakan penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) yang diluluskan dan kini menguruskan sembilan dana PRS.
Syarikat itu turut memiliki 31 cawangan dan pusat khidmat pelanggan di seluruh negara.
Sehubungan itu, pelabur dinasihatkan supaya membaca dan memahami kandungan prospektus dana-dana berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.
Salinan prospektus, prospektus tambahan dan helaian penting produk boleh didapati melalui laman web rasmi Public Mutual di www.publicmutual.com.my.