PUIPP bantu peniaga nasi lemak yang hampir gulung tikar

SEBERANG PERAI – “Kami sudah terdesak tiada wang bagi pusingan modal niaga nasi lemak yang dijalankan membuatkan saya nekad pinjam ahlong namun syukur Pertubuhan Usahawan Integriti Negeri Pulau Pinang (PUIPP) tampil bantu hari ini.

Itu luahan M. Kaleeswaran, 25, yang menjalankan peniagaan nasi lemak bersama keluarganya di sebuah kedai kopi di Chai Leng Park, Perai di sini sejak lapan tahun lalu.

Kaleeswaran.

Jelasnya, kesan Covid-19 menyebabkan mereka sekeluarga hilang lebih 80 peratus punca pendapatan selain terbeban dengan sewa premis serta utiliti.

“Pergerakan rentas daerah tidak dibenarkan menyebabkan kami terpaksa bergantung pada pelanggan setempat sekali gus menyebabkan pulangan perniagaan turun mendadak hingga mengakibatkan tiada wang untuk dijadikan pusingan modal.

“Kami sekeluarga terdiri daripada  lapan orang dan kesemuanya mengharapkan pendapatan daripada peniagaan nasi lemak serta penjualan kuih yang dijalankan untuk kelangsungan hidup selama ini.

“Bagaimanapun, kini pendapatan kami kurang RM2,000 sebulan dan ia perlu diagihkan untuk sewa kedai RM100 sehari, pembelian barang basah serta perbelanjaan di rumah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Kumar (kanan) menyampaikan wang sebagai pusingan modal peniagaan kepada Kaleeswaran di Chai Leng Park, Perai, Pulau Pinang baru-baru ini.

Tambah Kaleeswaran, pelaksanaan moratorium yang diumumkan kerajaan membantu mereka untuk menangguhkan sementara pembayaran hutang rumah dan kereta namun mereka kekurangan wang untuk meneruskan peniagaan sedia ada.

“Untung yang kami dapat tidak cukup untuk buat pusingan modal membuatkan saya nekad untuk meminjam ahlong memandangkan sukar untuk golongan peniaga kecil seperti saya ini mendapatkan pinjaman bank.

“Bagaimanapun, beberapa hari selepas itu, saya cuba menghubungi pihak PUIPP selepas melihat hantaran di Facebook mereka sudi membantu peniaga terkesan akibat Covid-19.

“Saya tak sangka dalam tempoh singkat pihak PUIPP tampil membantu dengan menghulurkan wang untuk dijadikan pusingan modal bagi meneruskan peniagaan yang diusahakan saya,” ujar Kaleeswaran.

Sementara itu, Pengerusi PUIPP, M. Kumar berkata, pihaknya menyampaikan bantuan wang tunai berjumlah RM6,000 bagi meringankan beban peniaga nasi lemak berkenaan.

Kumar.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda MIC Pulau Pinang berkata, keazaman anak muda itu dalam mengendalikan perniagaan serta menyara keluarga dapat menjadi contoh kepada anak muda lain untuk menceburi diri dalam bidang perniagaan.

“Kita bagi bantuan wang tunai agar ia boleh dijadikan wang pusingan modal peniagaan dan kita juga tidak mahu golongan peniaga kecil ini terjebak dengan ahlong sekali gus  menyebabkan mereka terus terbeban dan bertidak di luar kawalan termasuk bunuh diri kerana tekanan yang dihadapi.

“Sebagai seorang ahli perniagaan, saya faham akan situasi yang dihadapi oleh golongan usahawan khususnya peniaga kecil seperti Kaleeswaran dalam mengharungi impak Covid-19.

“Kami akan terus menyalurkan bantuan kepada semua golongan masyarakat yang memerlukan mengikut kemampuan agar semua kita tidak terus terbeban dengan situasi sekarang,” ujar Kumar. – MalaysiaGazette