Pukau warga asing: Mangsa sedar wang hilang selepas suspek beredar

Pukau warga asing: Mangsa sedar wang hilang selepas suspek beredar

am@hmetro.com.my

Georgetown: Polis menerima tiga laporan kejadian pukau masing-masing membabitkan mangsa pelancong warga asing rakyat Taiwan, Belanda dan Syria berumur 29 hingga 52 tahun yang berlaku di sekitar kawasan Pulau Tikus dan Jalan Penang di sini pada 30 Julai hingga 1 Ogos lalu

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata berikutan itu operasi dikenali sebagai ‘Op Tourist’ dijalankan sehingga membawa kepada penahanan lima suspek warga asing berasal dari Asia Barat semalam.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di kawasan tumpuan orang ramai Gurney Plaza terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia 19 hingga 35 tahun dengan dua daripada mereka didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

“Polis turut merampas pelbagai mata wang asing, dua kenderaan dan dadah jenis ganja sekali gus berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah yang dilihat semakin aktif melakukan kegiatan tersebut.

“Kumpulan itu menyasarkan pelancong dari luar negara dengan cara mengajak mangsa untuk berbual dan semasa perbualan berlangsung mangsa diminta menunjukkan wang tunai yang berada dalam simpanan mereka.

“Tanpa disedari, wang milik mangsa telah diambil suspek dan mangsa hanya menyedari kehilangan wang mereka selepas suspek beredar dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Alwi berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media melaporkan lima warga asing termasuk pasangan suami isteri direman selama empat hari hingga 6 Ogos ini di Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan kes pukau warga asing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top