Qadir Nagar, Pakistan: Noor Muhammad yang bekerja sebagai buruh di Malaysia, tiba di Lapangan Terbang Islamabad pada 15 Ogos lalu, untuk pulang menyertai persiapan perkahwinannya.
Sebaliknya, dia terpaksa menghadiri 24 pengebumian termasuk ahli keluarganya sendiri.
Dua hari sebelum majlis perkahwinannya, Muhammad, 25, sempat berbual panjang dengan ibunya menerusi telefon.
Beberapa jam kemudian, banjir besar meragut nyawa wanita berkenaan bersama 23 ahli keluarga lain.
“Saya tidak dapat gambarkan betapa gembiranya dia ketika itu,” katanya sambil berdiri di tepi runtuhan rumah keluarganya yang besar dengan 36 bilik.
Kediaman itu terletak di tebing saluran air banjir di kampung Qadir Nagar, daerah Buner.
Buner yang terletak kira-kira tiga jam setengah dari Islamabad, antara kawasan paling teruk terjejas dengan lebih 200 kematian direkodkan daripada hampir 400 korban banjir di barat laut sejak 15 Ogos.
“Banjir datang, banjir besar, ia sapu semuanya, rumah, ibu, adik-beradik, pak cik, datuk dan anak kecil,” katanya sebak.
Menurutnya, bapanya dan seorang lagi abang terselamat kerana keluar menjemputnya di lapangan terbang.
Turut menjadi korban ialah keluarga pak cikn yang tinggal sebumbung dengan mereka dan beberapa saudara yang datang menghadiri majlis perkahwinannya.
Tunangnya pula dikhabarkan terselamat kerana rumah keluarganya jauh dari kawasan paling teruk dilanda banjir.
Fenomena banjir kilat itu berpunca daripada hujan monsun paling buruk pada 2025 dan kejadian hujan lebat luar biasa atau ‘cloudburst’.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) memaklumkan, jumlah keseluruhan korban akibat hujan monsun sejak akhir Jun kini mencecah 776 orang dan lebih 25,000 orang diselamatkan di barat laut negara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd