Pulanglah berkhidmat di Malaysia – Ahmad Zahid

Pulanglah berkhidmat di Malaysia – Ahmad Zahid

am@hmetro.com.my

Wellington: Rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara terutama dalam bidang profesional termasuk kejuruteraan dan undang-undang disaran pulang berbakti di tanah air.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau menyedari tawaran gaji rendah di Malaysia mendorong mereka berhijrah ke luar negara.

Berkongsi lawatan ke Victoria University Wellington (VUW) semalam, beliau mendedahkan ada menerima surat daripada seorang pelajar Malaysia supaya mereka ditawarkan pekerjaan setelah tamat pengajian di New Zealand.

“Saya dapat satu kertas kerja (yang mencadangkan) semua pelajar-pelajar (di luar negara) mesti tandatangan satu perjanjian supaya balik (Malaysia) nanti diberi pekerjaan.

“Saya (balas) kata siapa nak bagi kerja? (Jadi) Pesuruhjaya Tinggi (Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki, kata) kita bincang lain.

“Insya-Allah terutama dalam bidang kejuruteraan, (perlu ada sekitar) 60,000 jurutera setiap tahun. Tapi keperluan sekarang tak capai.

“Justeru, saya minta baliklah ke negara kita terutama dalam bidang kejuruteraan atau profesional lain… dalam bidang undang-undang dan perakaunan pun pulanglah ke Malaysia. Saya tahu gaji di Malaysia rendah berbanding New Zealand, tapi kena ingat di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra bersama lebih 250 komuniti Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki

Dalam majlis itu, Ahmad Zahid mengumumkan sumbangan sebanyak NZD100,000 (RM251,440) kepada Rumah Malaysia yang merujuk Kedutaan Malaysia di New Zealand.

Ketika berucap di majlis itu, Ahmad Zahid sempat menitipkan nasihat kepada pelajar Malaysia di New Zealand supaya mereka tidak bergantung sepenuhnya terhadap pembelajaran dalam kuliah.

Sebaliknya, beliau mahu mereka belajar berasimilasi dengan persekitaran dan budaya tempatan.

“Saya sangat berbangga dengan anak-anak atau adik-adik kita ini. Mereka (belajar di luar negara) membawa nama Malaysia dengan imej terbaik.

“Ada pelajar tajaan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), MARA (Majlis Amanah Rakyat), (ditanggung) ibu bapa. Ada juga tajaan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan).

“Yang penting, saya nasihatkan jangan hanya belajar apa dalam kelas atau kuliah, tetapi belajar daripada keadaan sekeliling. Kena asimilasi dengan komuniti tempatan. Kena juga belajar budaya mereka khususnya budaya Maori,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top