Pulau, helikopter, kapal layar mewah antara dilelong dalam Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026

Pulau, helikopter, kapal layar mewah antara dilelong dalam Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Sebuah pulau dan helikopter antara aset yang bakal melalui proses bidaan pada Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 yang akan berlangsung di seluruh negara bermula 26 Jun ini.

Pengarah Insolvensi, Jabatan Insolvensi Malaysia, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, berkata jabatan berkenaan juga akan melelong kapal layar mewah (yacht) serta kereta mewah dan pelbagai harta lain.

Menurutnya, biarpun tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah hasil daripada bidaan berkenaan, tujuan lelongan itu bagi mencairkan aset berkenaan bagi memudahkan individu yang diisytihar muflis dapat melangsaikan hutang masing-masing.

“Kita kumpulkan aset yang ada satu Malaysia. Setakat ini, di Sabah, akan ada satu pulau yang akan dilelong. Helikopter kita ada, ‘yacht’ kita ada.

“Di Putrajaya sendiri kita akan ada lelongan kereta mewah termasuk Bently dan Audi.

“Justeru saya tidak boleh nak menyatakan berapa jumlah yang bakal dikutip hasil daripada lelongan kerana ia akan tertakluk kepada bidaan yang akan dibuat,” katanya pada sidang media Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026, di sini, hari ini.

Selain itu katanya, pengendali platform e-dagang Shopee serta beberapa syarikat juga akan tampil mengadakan lelongan barangan tidak dituntut bermula pada harga RM1.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said merasmikan pra pelancaran karnival berkenaan di sini, hari ini.

Mohd Mukhzany berkata, karnival berkenaan akan dilaksanakan di enam zon, bermula di Putrajaya sebelum ke destinasi lain dan diakhiri di Sabah (November) serta Sarawak pada Disember ini.

“Bermula pada pada 26 hingga 28 Jun ini kita akan jalankan di Zon Tengah yang merangkumi kawasan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya dan pada Julai kita akan pergi ke Johor dan Melaka.

“Selepas itu kita akan ke Pantai Timur merangkumi Pahang, Kelantan dan Terengganu dan pada Oktober di sebelah utara iaitu di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis,” katanya.

Beliau berkata, semua aset yang dilelong pada karnival di Putrajaya akan disenaraikan melalui laman sesawang Jabatan Insolvensi mulai Khamis ini untuk diakses oleh mereka yang berminat.

Pembida juga boleh terus ke tapak karnival pada 26, 27 dan 28 Jun ini dan mengimbas kod QR yang disediakan dan membeli e-book bagi melihat aset yang akan dilelong pada tarikh terbabit.

Mohd Mukhzany berkata, pihaknya mengenakan syarat mudah iaitu sesiapa yang berminat untuk membuat bidaan terhadap aset yang ditawarkan perlu mendaftar dan masuk untuk bidaan dalam tempoh dua jam sebelum lelongan dibuka.

“Sudah tentu, di tapak karnival itu kita akan letakkan jadual waktu bidaan akan dijalankan. Bidaan juga akan dibuat berperingkat mengikut agensi yang terbabit dalam lelongan.

“Melalui karnival ini, kami memperkenalkan proses atau tatacara kerja yang membantu individu diisytihar muflis untuk keluar daripada kebangkrapan” katanya.

Pada masa sama, Mohd Mukhzany berkata, walaupun ada antara yang bakal dilelong membabitkan aset yang bernilai tinggi dan mewah, ia tidak bermakna bidaan hanya untuk kumpulan T20 sahaja.

Beliau berkata, melalui proses bidaan itu, sesiapa saja berpeluang untuk membida aset yang ditawarkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top