audreymd@nst.com.my
George Town: Pulau Pinang dinobatkan sebagai bandar paling mesra bajet di dunia untuk golongan nomad digital dalam satu kajian antarabangsa baharu yang meliputi 26 bandar di 15 negara.
Kajian oleh agensi pemasaran digital, Click Intelligence, yang disiarkan dalam Moneywise pada Oktober lalu, meletakkan Pulau Pinang di tempat pertama dengan skor keseluruhan 0.78.
Busan di Korea Selatan menduduki tempat kedua, diikuti Kuala Lumpur di tempat ketiga. Fukuoka (Jepun) dan Seoul (Korea Selatan), masing-masing berada di kedudukan keempat dan kelima.
Lima lagi bandar dalam kelompok 10 teratas ialah Tartu di Estonia, Chiang Mai (Thailand), Valencia (Sepanyol), Osaka (Jepun) dan Brno (Republik Czech).
Nomad digital merujuk kepada golongan profesional yang tidak terikat dengan lokasi tertentu dan menggunakan internet serta teknologi digital untuk bekerja dari jarak jauh sambil mengembara.
Kajian itu menganggarkan kos sara hidup bulanan di Pulau Pinang sebanyak €850 (kira-kira RM3,860), termasuk sewa rumah, sekali gus menyerlahkan kemampuan kosnya selain kemudahan sambungan internet, tahap keselamatan dan akses kepada Pas DE Rantau Malaysia.
Pas DE Rantau adalah program untuk pekerja jarak jauh yang layak bagi membolehkan mereka menetap di Malaysia selama 12 bulan, dengan pilihan untuk memperbaharui pas berkenaan.
Pengasas bersama dan pengarah Click Intelligence, James Owen, berkata faktor bahasa jarang menjadi penghalang kerana bahasa Inggeris digunakan secara meluas di seluruh pulau itu.
Beliau turut berkata, Malaysia secara umumnya dianggap sebagai sebuah negara yang selamat untuk didiami.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai, berkata pengiktirafan di peringkat antarabangsa itu mencerminkan daya tarikan negeri berkenaan yang semakin meningkat sebagai destinasi pilihan nomad digital dan pelawat antarabangsa.
“Pulau Pinang menawarkan lebih daripada sekadar kos sara hidup yang berpatutan.
“Status Warisan Dunia UNESCO, warisan masyarakat berbilang kaum yang kaya, makanan bertaraf dunia, seni dan landskap kreatif yang berkembang pesat, selain tarikan alam semula jadi yang indah, menjadikan negeri ini destinasi menarik untuk didiami, bekerja dan diterokai,” katanya.
Wong berkata, pengiktirafan itu turut mengukuhkan usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan industri pelancongan dan ekonomi kreatif.
“Pulau Pinang memiliki gaya hidup, budaya dan peluang yang dicari pelawat antarabangsa serta golongan nomad digital,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




