Pulau Pinang harap dapat beralih ke Fasa 2 PPN dalam masa terdekat – Utusan Digital

Pulau Pinang harap dapat beralih ke Fasa 2 PPN dalam masa terdekat – Utusan Digital

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat mempertimbangkan supaya negeri ini beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini memandangkan Pulau Pinang telah mencapai sebanyak 9.9 peratus populasi dewasa yang menerima suntikan dua dos vaksin setakat semalam.

Jelas beliau, dengan hanya berbaki 3,181 dos lagi, kerajaan negeri yakin sasaran kadar 10 peratus populasi dewasa menerima dua dos vaksin itu dapat dicapai esok.

“Dengan tercapainya tiga nilai ambang ini, kita berharap MKN akan mempertimbangkan untuk Pulau Pinang beralih ke Fasa 2 PPN dalam tempoh masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan lima negeri iaitu Perlis, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan akan beralih ke Fasa 2 PPN berkuat kuasa esok.

Jelas Ismail Sabri, peralihan ke fasa seterusnya kerana negeri-negeri terbabit berjaya mencapai tiga indikator nilai ambang yang ditentukan iaitu kes harian COVID-19 bawah 4,000; peningkatan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) serta serta liputan vaksinasi dua dos meliputi 10 peratus daripada keseluruhan populasi.

Setakat semalam, Pulau Pinang mencatatkan bilangan kes positif harian sebanyak 142 menjadikan jumlah kes aktif ketika ini 1,105 manakala keseluruhan kes pula sebanyak 36,162.

Dari segi pemberian vaksin Covid-19 setakat semalam, seramai 460,303 penduduk negeri ini sudah menerima suntikan masing-masing dengan 321,838 menerima dos pertama manakala 138,465 lagi sudah lengkap kedua-dua dos.

Scroll to Top