Georgetown: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengarahkan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menghentikan pelaksanaan Sistem Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) dalam mengeluarkan kompaun, berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan semakan semula dibuat.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri mengambil maklum balas dan pandangan rakyat berhubung pelaksanaan sistem berkenaan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Kerajaan negeri akan mengarahkan kedua-dua PBT ini untuk menghentikan pelaksanaan ANPR serta-merta, dan membuat semakan semula terhadap perinciannya.
“Yang penting, kita dengar suara rakyat, semak semula apa yang perlu, dan pastikan setiap dasar yang dilaksanakan benar-benar mengambil kira kepentingan rakyat Pulau Pinang,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Chow berkata perkara itu antara dibincangkan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi DAP Pulau Pinang Steven Sim dan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang Zairil Khir Johari selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang di sini hari ini.
Selain itu, Chow berkata mereka turut membincangkan beberapa isu berkaitan kehidupan rakyat Pulau Pinang, khususnya cabaran ekonomi yang dihadapi ketika ini dengan beberapa langkah berkaitan akan diperincikan dan diumumkan dalam masa terdekat.
Semalam, Datuk Bandar MBPP Datuk A Rajendran berkata penggunaan sistem ANPR bermula 24 April tahun lepas menyaksikan pihaknya secara purata mengeluarkan kira-kira 7,000 kompaun setiap bulan atas kesalahan parkir.
Beliau berkata jumlah kompaun itu menunjukkan penggunaan teknologi tersebut membantu meningkatkan kecekapan penguatkuasaan parkir, terutamanya jumlah petak parkir seliaan PBT itu kini menghampiri 20,000 petak di bahagian pulau.
Penggunaan sistem ANPR melibatkan dua kenderaan itu membolehkan MBPP mengesan kesalahan parkir dengan lebih tepat berbanding kaedah pemeriksaan secara manual.
Bagaimanapun, pelaksanaan tersebut mengundang kegelisahan dan kerisauan penduduk Pulau Pinang termasuk bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng.
© New Straits Times Press (M) Bhd




