Pulau Pinang laksana hukuman perintah khidmat masyarakat mulai 1 Julai

Pulau Pinang laksana hukuman perintah khidmat masyarakat mulai 1 Julai

Oleh Nur Izzati Mohamad

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Pulau Pinang akan menguatkuasakan hukuman perintah khidmat masyarakat bagi kesalahan membuang sampah di tempat awam mulai 1 Julai tahun ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri itu memerlukan tempoh selama enam bulan bagi melakukan persediaan sebelum melaksanakan hukuman terbabit.

Katanya, Pulau Pinang mengambil maklum mengenai pelaksanaan hukuman berkenaan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di beberapa negeri yang menggunapakai akta berkenaan bermula semalam.

“Bagi Pulau Pinang, kita masih belum menerima pakai Akta 672 itu yang mana (bagi memasukkan perintah khidmat masyarakat) kita melaksanakan pindaan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan (Akta A1773) 2025.

“Perkara ini sudah dibincangkan melalui satu Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri pada 17 Disember lalu dan mendapat kelulusan daripada semua, yang kita memerlukan masa lebih kurang enam bulan bagi kedua-dua PBT (Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang) mencari satu mekanisme (kaedah pelaksanaan) dari tempoh pendidikan (advokasi kepada masyarakat) sehingga akta itu dikuatkuasakan di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Jason ditemui media selepas Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MBSP yang disaksikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di Ibu Pejabat MBSP, Bandar Perda, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 24 Ahli Majlis yang dilantik mengangkat sumpah jawatan bagi menggalas tanggungjawab demi kesejahteraan penduduk Seberang Perai.

Mengulas lanjut, Jason berkata, beliau juga meminta kedua-dua PBT menubuhkan pasukan khas (task force) bagi mengkaji dan meneliti mekanisme pelaksanaan hukuman terbabit.

“Task force ini diperlukan untuk mengkaji mekanisme dan cara-cara (pelaksanaan dengan betul) berkaitan bagaimana kita boleh keluarkan saman, ambil tindakan dan sebagainya.

“Dasar ini adalah dasar persekutuan, jadi kita harap kedua-dua PBT adakan satu task force untuk dapat bincang bersama-sama dengan Ahli Majlis termasuk jabatan-jabatan berkaitan,” katanya.

Terdahulu, KPKT memaklumkan pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat itu berkuat kuasa di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula semalam.

Bagi Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu yang tidak menggunakan Akta 672, pelaksanaan perintah berkenaan akan bermula secepat mungkin tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri masing-masing.

Hukuman itu dilaksanakan untuk menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top