Pulau Pinang, Melaka mara suku akhir Piala Emas Raja-Raja

Pulau Pinang, Melaka mara suku akhir Piala Emas Raja-Raja

sukan@hmetro.com.my

Georgetown: Pulau Pinang mencipta kejutan apabila muncul juara Kumpulan A selepas mengikat Melaka 0-0 pada saingan Piala Emas Raja-Raja di padang Universiti Sains Malaysia, semalam.

Kem tuan rumah sebelum ini cemerlang menewaskan Perlis 6-0 dan Pahang 2-1, sekali gus mara ke peringkat suku akhir dengan kutipan mata tertinggi secara keseluruhan.

Ketua jurulatihnya, Manzoor Azwira Abdul Wahid menyifatkan pencapaian itu memberi kelegaan besar selepas melalui kempen mencabar musim lalu apabila terkandas awal dalam saingan kumpulan.

“Lebih menggembirakan ialah kami menentang hampir sebahagian pasukan pilihan utama walaupun tidak menjaringkan gol dengan Melaka kami mencipta banyak peluang.

“Nampak peningkatan ketara, sepanjang tiga hari ini, kami menghasilkan lapan gol dan hanya satu bolos saya harap momentum ini berterusan,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan.

Manzoor berkata, akan memanfaatkan masa rehat untuk memperkemas aspek taktikal dan disiplin pasukan menjelang pertemuan dengan naib juara tahun lalu, Bomba FC Sabtu ini sebelum aksi timbal balik, 25 Oktober akan datang.

Sementara itu, pengendali Melaka, Safian Abd Wahid turut meluahkan rasa syukur apabila pasukannya berjaya melangkah ke suku akhir dan bertekad memperbaiki pencapaian selepas tersingkir peringkat separuh akhir tahun lalu.

“Apa yang dirancang untuk dapat sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan terakhir semalam berjaya direalisasikan, saingan sangat sengit tetapi pemain kami menunjukkan semangat juang tinggi.

“Selepas ini kami akan bertemu juara kumpulan B iaitu ATM, kami akan baiki jentera serangan dan barisan pertahanan yang saya lihat longgar menyebabkan senang pasukan lawan masuk kawasan kami.

“Saya juga saya akan asah lagi pemain dalam latihan membuat sasaran gol dan pastinya kami akan buat lebih baik tak kisah berdepan dengan pasukan mana sekali pun,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top