am@hmetro.com.my
Butterworth: Pulau Pinang memberi perhatian khusus terhadap situasi gelombang haba di Kedah yang didapati akan memberi impak terhadap bekalan air di negeri itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, ketika ini ketiga-tiga empangan di negeri itu dalam keadaan baik dan terkawal.
Bagaimanapun katanya, pemantauan bekalan air dilaksanakan dari semasa ke semasa yang berharap air Sungai Muda tidak turun pada paras kritikal.
“Jadi apa yang akan berlaku di sana akan membawa impak kepada kita juga, bagaimanapun keadaan masih terkawal yang paras air empangan kita adalah baik.
“Sekarang kita perlu pantau keadaan Sungai Muda supaya paras air tidak jatuh di bawah paras kritikal,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kesiapsiagaan Pulau Pinang menghadapi cuaca panas yang melanda negeri utara ketika ini.
Terdahulu, beliau ditemui selepas menyampaikan 300 hamper berupa barangan keperluan kepada golongan memerlukan di Dewan Kuil Sri Muniswarar, Perai, di sini, hari ini.
Berdasarkan laman sesawang Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) ketika ini Empangan Air Itam berada pada paras 68.9 peratus, Empangan Teluk Bahang (83.8 peratus) dan Empangan Mengkuang (91.2 peratus).
Ketika ini berdasarkan data Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), beberapa kawasan lain di Kedah merekodkan cuaca panas Tahap Satu (berjaga-jaga) melibatkan Bandar Baharu, Kulim, Kuala Muda, Pulau Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap dan Sik.
Status cuaca panas Tahap Satu turut direkodkan di seluruh Perlis, Seberang Perai Utara di Pulau Pinang serta Kinta, Kuala Kangsar dan Hulu Perak di Perak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




