KEPALA BATAS : Tindakan beberapa individu yang dirakam memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah kedai perkakasan di sini mengundang kecaman netizen selepas rakaman tersebut tular di media sosial sejak pagi tadi.
Antara individu yang lantang bersuara susulan kejadian itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Reezal Merican berkata, perbuatan memasang Jalur Gemilang secara terbalik bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan maruah serta kedaulatan negara.
“Saya ada berjumpa dengan wakil premis berkenaan untuk memastikan kebenaran maklumat tersebut sebelum membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.
“Semasa di balai, individu itu turut hadir dan memberikan penjelasan berhubung kejadian. Namun, saya tegaskan bahawa dalam hal melibatkan simbol negara, tiada sebarang alasan yang dapat menghalalkan kelalaian.
“Jalur Gemilang adalah lambang perpaduan, identiti, dan kemerdekaan negara yang mesti dihormati setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan selepas membuat laporan polis berhubung isu itu di sini, hari ini.

Terdahulu, tindakan tersebut turut mendapat reaksi negatif daripada Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang, Mohd. Khairul Mohd. Ali serta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri yang baharu iaitu Muhamad Zakwan Mustafa Kamal.
Kedua-duanya mengecam tindakan yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab itu dan mahu hukuman yang sewajarnya diambil terhadap pelaku yang terlibat.
Dakwa mereka, tiada kompromi harus diberikan kerana perbuatan tersebut umpama satu penghinaan terhadap negara dan bagaikan satu provokasi murahan yang cuba mengundang kecaman rakyat.
Sementara itu, difahamkan, pemilik kedai tersebut turut hadir untuk membuat laporan polis petang tadi dan menafikan bahawa perbuatan berkenaan dilakukan secara sengaja.
Dalam satu rakaman video yang ditularkan sebelum itu, salah seorang daripada pekerja kedai terbabit mengaku bahawa mereka hanya berniat untuk mengukur besi sebelum memasang bendera sahaja dan meminta maaf atas salah faham yang berlaku.-UTUSAN