Georgetown: Sebanyak 80 MyKiosk dibina di Pulau Pulau Pinang dan ditempatkan di kawasan tumpuan orang ramai khususnya lokasi pilihan pelancong seperti di tepi pantai, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye.
Beliau berkata, 35 kiosk ditempatkan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBSP) iaitu di bahagian pulau manakala bakinya di kawasan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“MBPP telah menerima tawaran bagi pembinaan kiosk melalui Program Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan pada 2022.
“Susulan itu, MBPP telah mengemukakan permohonan secara rasmi untuk membina 45 kiosk dan diluluskan sebanyak 35 unit pada 2023 dengan kerja penyediaan siap tahun lepas, kerja pembinaan bagi setiap unit ialah RM15,000,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kiosk di Pantai Miami dekat sini hari ini.
H’ng berkata ketika ini, semua 35 kiosk di bawah MBPP itu ditempatkan di 10 lokasi dengan 32 daripadanya akan diisi oleh penjaja manakala baki tiga lagi iaitu di Kompleks Padang Tembak dan Kompleks Kota Selera untuk penjaja tanpa lesen.
“Kadar sewaan bagi setiap kiosk bagi MBPP adalah RM145 sebulan termasuk kadar lesen sebanyak RM45 manakala MPSP pulau RM120 sebulan.
“Setakat ini, permintaan terhadap MyKiosk sangat tinggi namun kita memberi keutamaan kepada penjaja tepi jalan dan tanpa lesen supaya mereka dapat berniaga secara sah,” katanya.
Beliau juga berkata, tiada isu ‘gajah putih’ membabitkan kiosk di Pulau Pinang seperti yang didakwa oleh beberapa pihak sebaliknya ia mendapat permintaan tinggi daripada peniaga dan kerajaan negeri merancang untuk memohon 100 lagi pada tahun ini.
Projek MyKiosk adalah inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membantu golongan B40 dan peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana dengan menyediakan ruang niaga yang seragam, selamat serta selesa dengan kadar sewa rendah.
Sehingga Disember 2024, sebanyak 7,243 unit MyKiosk telah diluluskan di 133 PBT di seluruh negara dan membantu lebih 7,000 keluarga meningkatkan pendapatan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd