saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pengisytiharan taubat secara terbuka dibenarkan, malah dituntut dalam keadaan tertentu.
Ia terutama apabila kesalahan lalu membabitkan kepentingan awam, walaupun pada asasnya seseorang boleh bertaubat kepada Allah SWT tanpa perlu mendedahkan aib dirinya kepada masyarakat.
Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, pengisytiharan terbuka wajar dilakukan jika seseorang pernah menyebarkan ajaran sesat, mempengaruhi masyarakat atau mengajak orang lain melakukan kesalahan.
Beliau berkata, ini sekali gus membetulkan kekeliruan yang pernah disebarkan dan mengumumkan diri seseorang itu sudah bertaubat daripada melakukan kesalahan lalu.
“Pengakuan terbuka juga menjadi medium untuk menjelaskan bahawa pegangan atau ajaran yang pernah dibawa sebelum ini adalah salah dan tidak lagi diyakini, sekali gus memulihkan akidah masyarakat serta mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap individu berkenaan.
“Saya menegaskan pengisytiharan taubat bukan persembahan untuk meraih perhatian, sebaliknya perlu dilakukan dengan niat ikhlas dan bertujuan mengubah manusia ke arah ketakwaan. Pintu taubat sentiasa terbuka selagi seseorang masih hidup dan nyawanya belum sampai ke halkum.” katanya.
Mohd Izhar Ariff berkata, taubat nasuha ada lima asas iaitu meninggalkan kesalahan, menyesali perbuatan terdahulu, berazam tidak mengulanginya, memperbetulkan kesalahan terhadap manusia serta memperbaharui kefahaman agama melalui bimbingan pihak berautoriti dan ilmu akidah sahih.
Menurutnya, taubat tidak terhad kepada lafaz atau pengakuan di hadapan orang ramai, sebaliknya mesti dibuktikan menerusi perubahan pegangan, tingkah laku dan kehidupan.
Beliau menasihati masyarakat supaya tidak menutup pintu taubat kepada sesiapa, namun tidak menilai seseorang berdasarkan pengakuan lisan semata-mata.
Pada masa sama, katanya, masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh seseorang tidak ikhlas bertaubat kerana keikhlasan adalah urusan antara hamba dengan Allah SWT.
“Pihak berkuasa agama, institusi pendidikan dan ilmuwan perlu menyediakan ruang bimbingan serta pemulihan, namun sikap berlapang dada itu tidak bermakna keselamatan masyarakat, undang-undang dan tanggungjawab terhadap mangsa diabaikan,” katanya.
1. Ajaran ‘Rasul Melayu’ (Abdul Kahar Ahmad)
2. Kumpulan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT)
3. Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH)
4. Ajaran Millah Abraham / Ibrahim
5. Ajaran Rufaqa’ (Serpihan Al-Arqam terdahulu)
© New Straits Times Press (M) Bhd




