Puluhan rumah, kenderaan rosak akibat ribut di Temerloh

Puluhan rumah, kenderaan rosak akibat ribut di Temerloh

am@hmetro.com.my

Temerloh: Berpuluh rumah rosak selepas ribut melanda beberapa kampung di sekitar daerah ini, hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, beberapa kereta turut rosak dihempap pokok tumbang.

Menurutnya, kawasan teruk terkesan dalam kejadian ribut itu ialah di Mukim Semantan Satu, Mentakab Satu, Mentakab Dua dan Bangau.

“Sehingga kini beberapa rumah dilaporkan rosak khususnya di bahagian bumbung dan pokok tumbang turut menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan perumahan.” katanya ketika dihubungi.

Che Adam berkata, APM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Temerloh sedang membuat bancian kerosakan untuk menghulurkan bantuan segera.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top