Punah harapan peniaga akibat ribut landa Jambatan Angkat

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: “Lebih sejam saya terpaksa berpaut pada khemah tempat saya berniaga kerana tidak mahu ia terbang seperti khemah-khemah lain yang tidak bertuan,” kata Nur Afiqah Nabihah Afandi, 28.

Menceritakan detik cemas dilalui peniaga di sekitar kawasan Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Nur Afiqah berkata, kawasan berkenaan dilanda angin dan ribut kencang kira-kira jam 9 malam tadi.

Nur Afiqah berkata, kejadian itu berlaku secara tiba-tiba walaupun keadaan cuaca pada siang hari kelihatan baik tanpa menunjukkan tanda-tanda akan berlaku ribut.

“Saya memang terkejut kerana ribut berlaku secara tiba-tiba kerana pada sebelah siang hingga ke petang sangat baik dan tidak kelihatan seperti akan berlaku ribut atau cuaca buruk.

“Saya terpaksa berpaut pada kanopi lebih sejam kerana tidak mahu ia terbang seperti beberapa kanopi lain yang tidak bertuan,” katanya.

Menurutnya, keadaan cuaca yang semakin buruk menyebabkan dia terpaksa menghentikan jualan dan berkemas pulang walaupun masih berharap untuk memperoleh hasil jualan pada malam kelmarin.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan dia mengalami kerugian apabila makanan serta beberapa peralatan perniagaan rosak akibat terkena hujan dan angin kencang.

“Paling sedih, kelmarin jualan saya hanya mampu memperoleh RM5. Bila berlaku kejadian seperti ini, saya terpaksa lupakan hasrat untuk meneruskan jualan sebelum mengambil keputusan berkemas dan pulang.

“Rugi sudah tentu kerana makanan dan peralatan makanan yang disediakan rosak dan sudah tidak boleh diniagakan,” katanya.

Sementara itu, peniaga festival makanan di sekitar Paya Bunga Square turut berdepan situasi sama apabila ribut melanda pada hari pertama mereka berniaga.

Peniaga, Syahir Azizi Zulfa berkata, keadaan ketika itu bertukar kelam-kabut apabila semua peniaga terpaksa menyelamatkan barangan dan peralatan masing-masing.

“Ketika itu semua peniaga sibuk menyelamatkan barang masing-masing sementara itu petugas acara juga terpaksa memegang khemah kami untuk mengelakkan ia rosak atau diterbangkan angin.

“Tetapi apa boleh buat, ini sudah ketentuan namun syukur tidak banyak barang yang rosak,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung festival makanan berkenaan, Nurfaizah Kamaruddin, 25, berkata, dia ketika itu sedang membeli makanan apabila tiba-tiba angin kencang disusuli ribut melanda kawasan tersebut.

Katanya, dia turut terkena tempias hujan serta barangan yang diterbangkan angin ketika cuba menyelamatkan diri ke kawasan lebih selamat.

“Ketika itu saya sedang membeli makanan, tiba-tiba angin menjadi sangat kuat sebelum ribut melanda dan barang-barang di gerai mula bergerak dan ada yang berterbangan.

“Saya terkejut dan terus cuba melarikan diri kerana bimbang terkena barangan yang diterbangkan angin kerana suasana ketika itu memang agak kelam-kabut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top