Puncak tertinggi jadi pusara

Puncak tertinggi jadi pusara

am@hmetro.com.my

Sepang: “Bagaimana jika pengakhiran saya seperti mereka dan mayat saya terbiar atau tidak ditemui? Saya tidak dapat bayangkannya,” kata Tendi Sherpa, 41, yang berkongsi pengalaman sebagai malim gunung di Gunung Everest di Nepal sejak berusia 13 tahun.

Menurut Sherpa, dia sering terjumpa mayat ketika menjalankan ekspedisi bersama pendaki di laluan trek ke puncak gunung terbabit.

“Saya pernah terjumpa mayat yang sudah meninggal dunia hampir 100 tahun berdasarkan rekod tarikh mangsa dilaporkan hilang. Identitinya boleh dikenal pasti, cuma muka dan badan mangsa berkenaan kecut.

“Tanda nama serta pakaian masih lengkap dan tidak mereput berikut suhu sangat sejuk. Bagaimanapun, saya hanya mampu berdoa agar roh mangsa dirahmati Tuhan,” katanya yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, baru-baru ini.

Sherpa berkata, setiap kali terjumpa mayat, dia menjadi lebih bersemangat untuk sampai dan pulang ke kaki gunung dengan selamat.

“Saya ingin sampai ke puncak dan turun dengan selamat. Gunung itu tidak lari ke mana. Sebagai pemandu pelancong, saya perlu fokus dan kental demi menjaga ahli kumpulan pendaki lain serta memastikan keselamatan mereka,” katanya.

Katanya, jika mangsa yang meninggal dunia membabitkan pasukannya, dia perlu bertanggungjawab untuk membawa turun mayat berkenaan.

“Saya akan angkat dan bawa turun mayat. Jika mangsa hilang, kami akan tetap mencarinya.

“Bukan mudah untuk membawa turun mayat terutamanya di Death Zone yang berketinggian 8,000 meter dan memerlukan pasukan yang kuat,” katanya.

Katanya, kerajaan Nepal sudah mengeluarkan arahan supaya malim gunung atau syarikat pelancongan yang bertanggungjawab membawa mayat pendaki turun ke kaki gunung.

“Sebanyak lebih 230 mayat kini berada di Gunung Everest dan tidak dibawa turun. Justeru, kerajaan mengeluarkan arahan bahawa syarikat perlu bertanggungjawab menguruskan mayat pendaki yang meninggal dunia ketika pendakian,” katanya.

Menurutnya, kesilapan yang sering dilakukan oleh pendaki adalah teruja untuk sampai ke puncak atau base camp dalam waktu yang singkat.

Katanya, kebanyakan pendaki mengalami akut gunung atau Acute Mountain Sickness (AMS) kerana mendaki secara tergesa-gesa serta tidak merancang perjalanan hingga boleh meragut nyawa.

“Sudah pasti pendaki tidak sabar untuk menamatkan pendakian selain ingin tiba di puncak gunung lebih awal.

“Namun, jika mereka mendaki laju untuk sampai ke destinasi, maka akan menyebabkan penggunaan tenaga yang banyak.

“Pelbagai implikasi akan berlaku jika pendaki tidak cukup tenaga termasuk menyebabkan AMS dan lebih buruk lagi kehilangan nyawa dengan tempoh lebih cepat,” katanya.

Sherpa yang berjaya menakluk gunung berketinggian 8,849 meter sebanyak 17 kali itu berkata, dia juga berdepan pelbagai cabaran termasuk terpaksa bernafas tanpa menggunakan tong oksigen dalam tempoh jangka masa lama.

“Jika pelanggan saya mengalami masalah dengan tangki oksigen yang dibawa, saya perlu berkorban dan berikan mereka tangki oksigen milik saya.

“Sebagai pemandu pelancong, saya perlu utamakan pendaki yang saya bawa. Setiap langkah mereka perlu dijaga dan memastikan ianya selamat,” katanya.

Menurut Sherpa, pendaki perlu membuat persiapan mental dan fizikal sebelum mendaki Gunung Everest.

Katanya, setiap pendaki perlu berlatih cara penafasan yang betul dan kerap menjalankan aktiviti pendakian gunung sebelum membuat keputusan untuk menawan Gunung Everest.

“Seperti di Malaysia, pendaki boleh berlatih mendaki Gunung Kinabalu bagi membuat persiapan ke Everest. Selain itu keadaan cuaca yang tidak menentu ketika mendaki Gunung Everest antara cabaran yang perlu dihadapi pendaki.

“Oleh itu, pendaki perlu kerap mendaki gunung dan bukit sebagai persiapan serta boleh membantu mempelajari cara mengawal penafasan terutama di Death Zone.

“Banyak mayat yang saya nampak di Death Zone dan ia tidak mematahkan semangat saya dan pasukan untuk terus mendaki hingga ke puncak. Malah ia menjadi penguat semangat untuk terus berhati-hati,” katanya memaklumkan kebanyakan pendaki gagal ketika berada di Death Zone.

Berceritakan pengalamannya, Sherpa berkata, peralatan bersesuaian juga antara faktor yang membantu pendaki untuk berjaya menawan Gunung Everest.

“Pendaki memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk membuat persiapan bagi mendaki gunung itu sehingga ke puncak.

“Jika pendaki gagal membuat persiapan mental, fizikal serta peralatan yang sesuai, ia akan mendorong kepada kegagalan ekspedisi dan terpaksa berpatah balik,” katanya.

Berkongsi pengalamannya, Sherpa berkata, kebanyakan pendaki berjaya sampai ke puncak, namun terkandas ketika menuruni gunung berkenaan

“Matlamat perlu jelas. Persiapan mental juga perlu ada kerana kebanyakan pendaki hanya memasang matlamat untuk sampai ke puncak Everest.

“Bagaimanapun, mereka tidak melakukan persediaan untuk menuruni gunung itu dengan selamat.

“Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, kebanyakan pendaki meninggal dunia ketika mereka turun dari puncak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top