sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Usia bukanlah penghalang buat pasangan suami isteri untuk kekal aktif bersukan meskipun sudah berumur lebih 60 tahun kerana bagi mereka, sukan adalah satu bentuk terapi dan umur itu hanyalah angka.
Bagi Audrey Liu, 60, dan isterinya, Liu Wai Yaw, 61, antara faktor memilih sukan pickleball adalah kerana ia membolehkan mereka beriadah bersama selain menjadikan gelanggang sebagai tempat memupuk kasih sayang serta menyemarakkan semula cinta di antara mereka.
“Kami mula bermain sekitar September atau Oktober tahun lalu. Pada awalnya, kami berdua agak segan untuk sertai orang lain. Keadaan itu berterusan sehingga Februari, barulah kami mula menyertai komuniti pickleball.
“Kumpulan ini memang terbaik dan sangat peramah. Aktiviti ini kini sudah menjadi seperti janji temu hujung minggu kami untuk mengeratkan hubungan. Selepas bermain, biasanya kami akan makan bersama,” kata Audrey.
Biarpun tergolong dalam kategori veteran, aksi lincah mereka di padang setanding pemain lebih muda. Itu membuatkan mereka semakin berminat meneruskan sukan berkenaan dan dalam sebulan, mereka bermain hampir 10 hingga 12 kali.
“Sukan ini mudah dimainkan dan kami pun sudah berusia lebih 60 tahun. Tanpa mengira usia, sesiapa sahaja boleh bermain. Macam isteri saya, pada awalnya dia tidak mahir, tapi saya ajar sedikit demi sedikit.
“Sekarang, kami boleh bermain bersama pada hujung minggu atau bila-bila masa. Selain itu, kita juga dapat jumpa kawan baharu,” katanya.
Beliau turut berpendapat pickleball sangat sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Selain mudah mencari gelanggang, sukan ini juga tidak terlalu mahal dan sesuai sebagai aktiviti kekeluargaan.
“Saya rasa ia tidak mahal kerana terdapat banyak gelanggang dengan kadar sewa berbeza, daripada yang murah hinggalah yang sedikit mahal. Semakin banyak gelanggang dibuka, jadi ia mudah diakses orang ramai. Sesiapa sahaja boleh bermain pickleball.
“Sukan ini juga bagus kerana mudah dipelajari pada semua peringkat umur. Ia tidak memerlukan kekuatan fizikal berlebihan, boleh dimainkan secara santai atau kompetitif, dan sesuai untuk kanak-kanak, orang dewasa malah warga emas.
“Pendedahan awal juga membantu mereka belajar sukan lain seperti tenis atau pingpong. Jadi seluruh keluarga boleh bermain bersama,” katanya.
Pasangan ini juga sekali-sekala menyertai kejohanan. Bagi mereka, kemenangan bukan keutamaan, sebaliknya lebih kepada keseronokan. Bagi Liu Wai, penyertaan dalam pertandingan turut membantu meningkatkan keyakinan dirinya.
“Dari segi kemenangan, tiada pencapaian besar. Daripada empat kejohanan yang kami sertai, kami hanya layak ke suku akhir sekali sahaja, itu pun dalam kategori novice. Kalau beraksi dalam kategori terbuka, kami memang tiada peluang.
“Saya berasa sangat gementar sewaktu pertandingan, tetapi suami banyak membantu menenangkan saya. Akhirnya, kami berjaya mara sehingga ke lapan terbaik. Pengalaman itu benar-benar meningkatkan keyakinan saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




