Pura-pura jadi pelanggan, lelaki larikan tiga telefon bimbit bernilai RM8,000

Pura-pura jadi pelanggan, lelaki larikan tiga telefon bimbit bernilai RM8,000

Kuantan: Seorang lelaki dipercayai warga asing berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan tiga telefon bimbit bernilai kira-kira RM8,000 di sebuah kedai telefon di tingkat bawah sebuah pusat beli-belah di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata kejadian pada 8.45 malam itu berlaku ketika suspek yang memakai jaket berwarna maroon dan pelitup muka berpura-pura melihat telefon bimbit jenama iPhone yang dipamerkan sebelum melarikan diri bersama tiga unit telefon berkenaan.

“Jurujual kedai cuba mengejar suspek namun gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan pihak polis telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Polis sedang giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-5652222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Ashari turut menasihatkan peniaga agar lebih berwaspada selain memastikan tahap keselamatan di premis masing-masing dalam keadaan baik bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top