hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Gombak: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai mencuri gelang emas di sebuah kedai emas di Prima Sri Gombak di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita berusia 27 tahun yang juga jurujual di premis berkenaan pada 8.49 malam, semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 5.50 petang, hari sama yang mana suspek, lelaki tempatan datang ke premis berkenaan dan mendakwa mahu membeli rantai emas untuk dihadiahkan kepada isterinya.
“Pengadu kemudian mengeluarkan dan menunjukkan satu gelang emas yang dipilih suspek. Namun ketika wanita itu mahu mengambil mesin kira suspek melarikan diri bersama gelang emas berkenaan dengan menggunakan motosikal.
“Usaha mengesan suspek sedang diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan lanjut.
Katanya, mereka boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Zirwatul Huda Radzi di talian 014-3336173 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.
© New Straits Times Press (M) Bhd