Purata gaji sektor lombong, kuari meningkat RM9,422 sebulan

Purata gaji sektor lombong, kuari meningkat  RM9,422 sebulan

Kuala Lumpur: Purata gaji sektor perlombongan dan pengkuarian meningkat RM9,422 sebulan pada 2022 berbanding RM7,980 sebulan pada 2015.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan purata gaji dalam sektor berkaitan bagaimana dibayangi penyusutan jumlah gaji dan upah yang jatuh secara marginal 0.9 peratus setahun kepada RM7.4 bilion pada 2022.

“Pekerja mahir menerima purata gaji bulanan RM19,668, diikuti oleh pekerja separuh mahir (RM2,939) dan berkemahiran rendah (RM1,592),” katanya dalam kenyataan sempena laporan Banci Ekonomi 2023.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, bilangan pekerja menurun 3.2 peratus, berjumlah 65,600 orang (2015: 82,400 orang) susulan peningkatan automasi dan inovasi teknologi dalam pengeluaran di sektor perlombongan dan pengkuarian.

“Lebih separuh pekerja terbabit dalam subsektor perlombongan mineral dan pengkuarian dengan sumbangan sebanyak 54.2 peratus atau seramai 35,600 orang.

Selain itu, pekerja subsektor perlombongan petroleum dan gas asli seramai 30,000 orang atau 45.8 peratus pada 2022.

Dari sudut kemahiran, pekerja separuh mahir merekodkan bilangan pekerja tertinggi dengan jumlah 34,600 orang iaitu mewakili 53.1 peratus, diikuti pekerja mahir (39.5 peratus) dan pekerja berkemahiran rendah (7.4 peratus).

Bagaimanapun, pekerja mahir dalam subsektor perlombongan petroleum dan gas asli menyumbang lebih daripada separuh, merangkumi 65.6 peratus atau bersamaan dengan 19,700 orang.

Dalam laporan sama, Banci Ekonomi 2023 mendedahkan nilai output kasar sektor perlombongan berjumlah RM204.1 bilion pada 2022, meningkat sebanyak 6.5 peratus setiap tahun.

Mohd Uzir berkata, sebahagian besarnya peningkatan itu disokong oleh subsektor perlombongan petroleum dan gas asli yang menyumbang 93.5 peratus atau RM190.8 bilion pada 2022.

“Sementara itu, subsektor perlombongan mineral dan pengkuarian berkembang 3.2 peratus dengan output kasar sebanyak RM13.3 bilion. Peningkatan ini dipengaruhi oleh pengeluaran yang tinggi selari dengan peningkatan harga minyak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top