rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pusat Autisme Pengaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sumbangan RM60,000 daripada dua pihak swasta bagi menyokong perkembangan pendidikan anak autisme di pusat berkenaan.
Sumbangan diberikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Education Malaysia Global Services dengan masing-masing menyumbang sebanyak RM10,000 dan RM50,000.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya memberi sokongan pendidikan berterusan terhadap golongan autistik.
“Anak autistik adalah permata berharga yang dikurniakan dengan kebolehan dan potensi luar biasa.
“Sokongan berterusan penting dalam bentuk pendidikan, intervensi awal dan pembangunan kendiri bagi memastikan mereka dapat berdikari serta menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Kesedaran Autisme Pusat Autisme Pengaman PDRM 2025 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia, Tan Sri Norian Mai; Timbalan Pengerusi Yayasan merangkap Pengerusi Pusat Autisme Pengaman, Tan Sri Hussin Ismail; Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Komandan Pulapol Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Alzafny Ahmad.
Pusat Autisme Pengaman PDRM yang ditubuhkan pada 3 Ogos 2020, kini menawarkan tiga program utama iaitu ‘Early Intervention Fullday’, ‘Early Intervention Halfday’ dan ‘Program Intensif’.
Ketiga-tiga program itu diselaraskan bagi memenuhi keperluan pembelajaran berbeza murid autisme.
Pusat Autisme Pengaman PDRM mempunyai 18 kakitangan yang berupaya memberi intervensi berkualiti kepada 50 anak autisme menerusi pendekatan pembelajaran yang menyeluruh dan pemerkasaan aspek sosial, komunikasi serta kemahiran kendiri.
Pada majlis berkenaan, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan antaranya demonstrasi penculikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), tunggangan kuda bersama kanak-kanak oleh Unit Berkuda, Pasukan Simpanan Persekutuan serta saringan awal autisme percuma oleh Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
© New Straits Times Press (M) Bhd