Tokyo: ‘Ramai’ dikhuatiri terperangkap di dalam sebuah pusat beli-belah yang terjejas akibat gempa bumi kuat di Jepun.
Bencana alam itu menyebabkan bangunan runtuh, mencetuskan kebakaran dan dipercayai lebih 100 orang cedera, menurut pihak berkuasa.
Stesen penyiaran swasta, TBS, melaporkan ‘jumlah yang besar’ dikhuatiri maut di dalam pusat beli-belah di bandar Kashima itu selepas pihak bomba menyatakan tingkat dua bangunan berkenaan runtuh akibat gegaran bermagnitud 7.1 itu.
Stesen penyiaran awam, NHK, memetik sumber polis berkata, antara 20 hingga 30 pekerja gagal dihubungi, sambil menunjukkan rakaman kenderaan kecemasan di luar bangunan.
Polis memberitahu AFP mereka belum dapat mengesahkan sebarang kematian di dalam bangunan itu.
Kyodo News pula melaporkan empat individu dibawa ke hospital, dan kesemua mereka dalam keadaan sedar.
Beberapa individu di kilang Japan Paper Industries juga dipercayai masih gagal dikesan selepas bahagian atas cerobong asap runtuh, lapor NHK dengan memetik sumber.
Seorang individu terbunuh apabila sebuah rumah runtuh ketika gempa bumi berlaku, lapor Kyodo.
Rakaman di Pulau Kyushu yang terletak di di wilayah barat daya Kumamoto yang disiarkan oleh NHK sebelum ini menunjukkan berlaku beberapa kejadian kebakaran, jambatan rosak, sebuah kereta api kargo tergelincir, dan sebilangan rumah berisiko runtuh.
Sementara itu, Chiharu Hara, seorang ejen pengambilan pekerja berusia 35 tahun yang berada di Kumamoto, memberitahu AFP dia ‘amat takut’ ketika gempa bumi melanda.
“Pejabat bergoncang kuat. Saya takut ia akan runtuh. Semua orang panik,” kata Hara.
Gegaran pada jam 4.27 petang (0727 GMT) dengan magnitud 7.1, kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Gegaran itu mencapai tahap tertinggi iaitu tujuh pada skala Shindo Jepun yang mengukur intensiti gegaran.
Beberapa siri gempa susulan berlaku selepas itu, termasuk satu gempa bermagnitud 6.1 pada jam 5.08 petang.
NHK melaporkan dua hospital menerima sekurang-kurangnya 50 pesakit yang cedera, masing-masing.
Kebanyakan pesakit melecur dan patah tulang selepas terperangkap di bawah objek.
“Ambulans sentiasa membawa masuk mangsa yang cedera,” kata NHK memetik seorang pekerja hospital.
Sementara, kebocoran air dan kegagalan sistem elektrik turut berlaku di hospital.
Penyiar itu turut melaporkan kira-kira 10 orang cedera di sebuah pusat penjagaan warga emas.
Menteri Pertahanan Jepun berkata pasukan tentera negara itu sudah mengerahkan 3,600 anggota bagi operasi bantuan bencana serta menghantar 20 pesawat untuk menilai tahap kerosakan dari udara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




