Bera: Pusat Jagaan Pertubuhan Pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, di sini kembali beroperasi selepas ujian calitan kedua terhadap 234 penghuni warga emas dan penjaga disahkan negatif.
Ia diputuskan dalam mesyuarat Task-Force Covid-19 Pahang hari ini, selepas penilaian menyeluruh dibuat terhadap Kluster Jalan Warga Emas berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kes di pusat jagaan itu bermula apabila lima kes positif dikesan melalui saringan survelan yang dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Bera pada 11 Mac lalu.
“Saringan membabitkan 265 penghuni yang berusia 60 hingga 92 tahun serta penjaga.
“Kesemua kes positif dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri menghargai komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bera serta sukarelawan yang terdiri daripada anggota Pertubuhan Sukarela Kebajikan Daerah (PSKD) Bera.
“Anggota PSKD Bera menggantikan tugas 37 penjaga penghuni rumah kebajikan itu yang dikuarantin sebelum ini,” katanya.
Pada 11 Mac lalu, pusat jagaan itu ditutup selepas lima penghuninya dilaporkan positif Covid-19.
Bagi menangani penularan wabak dari kluster itu, pusat berkenaan ditutup kepada lawatan orang awam dan hanya petugas dan sukarelawan sahaja dibenarkan keluar masuk.




