Pusat karaoke RM1 satu lagu kena serbu, tiada lesen

Pusat karaoke RM1 satu lagu kena serbu, tiada lesen

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seorang lelaki dipercayai pengusaha pusat karaoke ditahan kerana menjalankan kegiatan hiburan tanpa lesen.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan Jumaat lalu dalam operasi pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Besut kira-kira 11 malam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, pasukannya turut merampas pelbagai peralatan hiburan di dalam premis berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati premis itu beroperasi sejak Mac 2025 dan mengenakan bayaran sebanyak RM1 bagi setiap lagu.

“Suspek yang ditahan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas bantu lengkapkan siasatan, selain menunggu pengesahan lesen daripada Majlis Daerah Besut (MDB).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 Terengganu, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun,” katanya.

Difahamkan, pusat karaoke itu terletak di dalam kebun dan hanya berjarak 150 meter dari masjid.

Dalam pada itu, Mohd Rozaime mengingatkan semua pihak agar mematuhi peraturan dan tindakan tegas boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top