am@hmetro.com.my
Muar: Polis menggempur pusat panggilan sindiket penipuan yang disyaki menawarkan pinjaman peribadi tidak wujud di Taman Sungai Abong, di sini, semalam dan menahan lapan individu termasuk tiga wanita.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar itu hasil risikan dan maklumat awam berkenaan sindiket terbabit.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, semua yang ditahan berusia 25 hingga 40 tahun.
“IPD Muar mencatatkan kejayaan besar apabila berjaya menumpaskan sindiket terbabit dan pemeriksaan mendapati premis itu dijadikan pusat operasi ‘calling centre’ yang mana sudah aktif sejak Jun tahun lalu.
“Siasatan awal mendapati, sindiket menggunakan skrip penipuan dengan menyamar sebagai wakil institusi kewangan serta syarikat pinjaman bagi memperdaya mangsa melalui panggilan telefon dan juga media sosial.
“Rampasan dilakukan antaranya, 20 telefon pintar, komputer riba, modem internet tanpa wayar, buku bank dan buku catatan skrip penipuan dengan keseluruhan bernilai RM10,000,” katanya dalam kenyataan.
Raiz Mukhliz berkata, tangkapan lapan suspek itu secara berperingkat dengan mereka antara 20 individu yang dikesan melakukan jenayah penipuan yang menyasarkan mangsa di seluruh negara.
“Kesemua suspek itu direman empat hari hingga Isnin untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sejak 4 Februari hingga Khamis lalu, IPD Muar turut membuat tangkapan susulan ke atas 12 individu di beberapa negeri kerana disyaki terbabit dalam kes penipuan ‘phone scam’, pembelian barangan melalui platform e-dagang dan penyalahgunaan akaun bank dengan keseluruhan kerugian melebihi RM190,000.
“Siasatan juga mendapati, kebanyakan kes dikesan membabitkan penyerahan atau penyewaan kad ATM dan nombor pin kepada individu tidak dikenali yang ditawarkan melalui media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




