hafidzul@hmetro.com.my
Klang: Koloni penempatan warga asing di Taman Perindustrian Pulau Indah di sini, didapati lengkap dengan pusat pelacuran.
Ia terbongkar selepas pemeriksaan di sebuah premis di tingkat tiga sebuah bangunan di kawasan terbabit.
Dalam operasi bermula 9.30 malam itu, pelacur terbabit gagal ditahan kerana dipercayai sempat melarikan diri selepas dimaklumkan tonto mereka.
Wartawan yang mengikuti operasi mendapati premis itu mempunyai 13 bilik dengan setiap satunya mempunyai penyaman udara.
Sumber berkata, berdasarkan buku rekod yang ditemukan, pelacur terbabit terdiri daripada warga Indonesia, Vietnam dan Myanmar, yang menyewa bilik antara RM400 hingga RM700.
“Pemeriksaan turut mendapati premis persundalan ini dilengkapi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) bagi melihat sebarang pergerakan terutama pihak berkuasa dari aras bawah hingga tingkat tiga.
“Tonto juga mengawal dari laluan masuk bagi memastikan operasi mereka tidak dikesan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui, malam tadi.
Menurutnya, kegiatan persundalan itu dipercayai beroperasi lebih enam bulan lalu dengan menyasarkan pelanggan tempatan terdiri daripada kelindan lori di samping warga asing di lokasi sekitarnya.
Katanya, pengoperasian premis itu bermula petang sehingga tengah malam.
“Kalau kita lihat dalam bilik terdapat beberapa makanan dan pakaian digunakan ditinggalkan begitu sahaja.
“Kita turut menemukan barangan digunakan bagi persundalan termasuk kondom dan tisu basah,” katanya.
Menurutnya, pihaknya percaya aktiviti persundalan ini didalangi warga tempatan dengan mengeksploitasi pelacur warga asing yang disyaki salah guna pas lawatan sosial dan tinggal lebih masa.
“Tawaran seks mereka pula antara RM150 hingga RM300 dengan keuntungan diperoleh hasil seks itu dibahagikan kepada dalangnya.
“Mereka menggunakan sistem ‘coding’ termasuk angka untuk pelacur berkenaan. Kita percayai ada lapan pelacur kesemuanya,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di aras dua mendapati terdapat stor penyimpanan arak seludup yang dipercayai digunakan termasuk bagi kegunaan pelanggan premis persundalan itu.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut bagi membasmi aktiviti tidak bermoral itu.
“Kita akan buat semakan lanjut namun gagal buat tangkapan susulan kegiatan itu mendapat ‘bantuan’ daripada tonto dan CCTV,”katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




