Pusingan akhir olahraga Grand Slam Trek dibatalkan

Pusingan akhir olahraga Grand Slam Trek dibatalkan

Los Angeles: Pusingan akhir kejohanan olahraga Grand Slam Trek (GST) yang mendapat sokongan legenda Olimpik, Michael Johnson, terpaksa dibatalkan atas faktor ekonomi.

Acara keempat bagi musim sulung GST itu sepatutnya berlangsung di Los Angeles dari 27 hingga 29 Jun ini, namun Johnson mengumumkan bahawa pihak penganjur akan memfokuskan kepada perancangan musim akan datang.

“Lanskap ekonomi global berubah secara mendadak dalam setahun lalu, dan keputusan perniagaan ini diambil bagi menjamin kestabilan jangka panjang kami sebagai liga olahraga utama dunia.

“Tumpuan kami kini adalah pada tahun 2026,” katanya.

Musim pertama GST bermula di Kingston, Jamaica, yang menyaksikan jualan tiket rendah sepanjang kejohanan, diikuti dengan dua lagi pusingan di Miami dan Philadelphia, Amerika Syarikat.

Walaupun pusingan terakhir yang dijadualkan di Drake Stadium tidak diteruskan, penganjur tetap menganggap tiga siri perlumbaan yang berlangsung sebagai satu kejayaan.

Difahamkan, mereka akan mengumumkan pelabur baharu bagi membantu membiayai musim kedua GST.

Johnson, 57, berkata keputusan ini “bukan sesuatu yang diambil mudah, sebaliknya berlandaskan keyakinan bahawa kami mencapai objektif yang disasarkan dalam musim perintis ini”.

Juara Olimpik empat kali itu turut menambah: “Kami bermula dengan visi berani untuk mentransformasikan perlumbaan olahraga profesional, dan kami sangat teruja dengan apa yang berjaya dicapai setakat ini.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top