Pusingan kerja di kaunter perkhidmatan awam langkah tepat

Pusingan kerja di kaunter perkhidmatan awam langkah tepat

harisfadli@hmetro.com.my

Putrajaya: Cadangan pusingan kerja bagi penjawat awam yang bertugas lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan kerajaan adalah satu langkah tepat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu dapat menjadikan suasana kerja yang lebih kondusif di jabatan berkenaan.

“Cadangan oleh Tan Sri Ketua Setiausaha Negara (KSU) untuk melaksanakan sistem rotasi adalah tepat.

“Di Kementerian Dalam Negeri (KDN), sistem ini akan diperkukuhkan, terutama dalam agensi yang sering berurusan secara langsung dengan rakyat, seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, dan pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas melawat ruang pameran di Sidang Kemuncak dan Ekspo Pencegahan Jenayah Siber Asia (AISSE’25) di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin, isu penempatan semula penjawat awam khususnya di kaunter perkhidmatan dilaksanakan bagi mempercepatkan sistem penyampaian kepada rakyat.

Katanya, ia juga dapat menangani isu integriti, sekali gus akan menaikkan keyakinan rakyat terhadap keberkesanan perkhidmatan awam.

Terdahulu media melaporkan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diarah meneliti dan melaksanakan pusingan kerja ke atas semua penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dilapor berkata, tempoh lima tahun untuk bertugas di kaunter perkhidmatan disifatkan terlalu lama.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata beliau berpuas hati dengan penganjuran julung kali program bertaraf antarabangsa, AISSE’25 yang sebahagian besarnya dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri.

Katanya, fokus utama program berkenaan adalah bagi mengetengahkan isu-isu jenayah rentas sempadan dan mempromosikan kerjasama antarabangsa dalam perkongsian maklumat risikan serta operasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top