Pusingan ketiga rundingan Iran-AS berakhir di Pakistan

Pusingan ketiga rundingan Iran-AS berakhir di Pakistan

ISTANBUL – Pusingan ketiga rundingan bersemuka antara Iran dan Amerika Syarikat (AS), yang diadakan dengan Pakistan sebagai pengantara, telah berakhir di Islamabad, menurut kerajaan Iran pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

Selepas pusingan terbaharu itu berakhir, pasukan pakar dari kedua-dua pihak terus bertukar teks bertulis sebagai sebahagian daripada proses rundingan.

Rundingan itu berakhir pada 3.12 pagi waktu tempatan (2212 GMT), menurut laporan media Iran.

Dalam fasa selepas rundingan, seorang pegawai kanan Rumah Putih berkata proses itu telah berlangsung selama “15 jam dan masih berterusan”.

Sumber berkata perbezaan ketara antara delegasi Iran dan AS masih belum dapat diselesaikan.

Laporan turut menyebut bahawa kemajuan bergantung kepada sama ada AS bersedia beralih

daripada “pendekatan maximalist” kepada pendirian yang lebih realistik.

Pusingan ketiga rundingan tiga pihak antara Iran, AS dan Pakistan disambung semula lewat Sabtu di Islamabad selepas makan malam, hampir tengah malam, menurut sumber kerajaan Pakistan.

Rundingan itu dilaporkan masih berlangsung ketika itu, dengan jangkaan perbincangan mungkin berlanjutan ke hari kedua.

Terdahulu, kedua-dua pihak mengadakan rundingan tidak langsung pada peringkat awal sebelum beralih kepada rundingan secara bersemuka, sambil turut bertukar teks bertulis.

Delegasi AS diketuai Naib Presiden J.D. Vance, disertai utusan khas Steve Witkoff dan penasihat kanan Jared Kushner.

Delegasi Iran pula diketuai Yang Dipertua Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf, dengan Menteri Luar Abbas Araghchi serta pegawai kanan keselamatan Ali Bagheri Kani turut mengambil bahagian.

Pegawai kanan Pakistan memudah cara rundingan itu, sekali gus meletakkan Islamabad sebagai pengantara penting dalam proses berkenaan.

Media Iran melaporkan rundingan itu telah memasuki “fasa sensitif”, dengan pasukan pakar terlibat di peringkat teknikal menerusi jawatankuasa khusus.

Sumber yang rapat dengan delegasi Iran turut merujuk kepada perbezaan berterusan antara kedua-dua pihak.

Pakistan menjadi tuan rumah rundingan itu sebagai sebahagian daripada usaha menamatkan konflik serantau yang lebih meluas di bawah gencatan senjata rapuh selama dua minggu yang diusahakan pada awal minggu ini. – Bernama

 

 

 

 

 

Scroll to Top