SHAH ALAM: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bersedia menghadapi peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (EV) menerusi pelaburan dalam teknologi baharu dan pembangunan protokol pemeriksaan khusus.
Ia sekali gus memperkukuhkan peranannya sebagai pemangkin keselamatan jalan raya serta pertumbuhan sektor automotif negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, PUSPAKOM sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
Menurutnya, sebagai satu-satunya pusat pemeriksaan kenderaan mandatori negara, kami memastikan teknologi pemeriksaan kenderaan di Malaysia tidak ketinggalan dengan kerjasama dengan pihak berkaitan tersebut.
“Landskap automotif tempatan kini semakin dipacu oleh teknologi seperti Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) yang sudah mula digunakan secara meluas oleh pengeluar tempatan termasuk Perodua dan Proton.
“Peranan kami adalah memastikan sistem pemeriksaan kenderaan berkembang seiring dengan kemajuan teknologi kenderaan dan JPJ sendiri mendapatkan pandangan PUSPAKOM dalam menilai teknologi baharu ini.
“Dalam usaha meningkatkan kecekapan dan ketelusan, PUSPAKOM kini memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi pemeriksaan bahagian bawah kenderaan (undercarriage), khususnya melalui trak pemeriksaan bergerak,” katanya pada pemberita di majlis Tahun Baharu Cina PUSPAKOM di sini, semalam.
Beliau berkata, teknologi yang dibangunkan bersama syarikat tempatan itu membolehkan komponen seperti gandar, sistem brek, minyak, karat dan kerosakan dikenal pasti secara automatik melalui kamera dan perisian AI berasaskan pembelajaran mendalam.
“PUSPAKOM juga sedang membangunkan teknologi pemeriksaan tayar menggunakan laser yang mampu mengesan kedalaman bunga dan integriti tayar secara automatik tanpa campur tangan manusia, sekali gus mengurangkan risiko manipulasi data.
“Teknologi terbabit kini berada pada peringkat Proof of Concept (POC) dan dijangka boleh diperkenalkan seawal tahun ini tertakluk kepada kelulusan JPJ serta kos pelaksanaan yang munasabah.
“Bagi kenderaan berat seperti lori 18 tayar, sistem ini jauh lebih cekap berbanding pemeriksaan manual yang memerlukan pemeriksaan satu persatu,” katanya.
Mengulas kos kepada pengguna, Mahmood berkata, kadar bayaran pemeriksaan masih dikawal kerajaan dengan kadar tertinggi RM90 dan jumlah itu tidak pernah naik sejak 2007 walaupun kos operasi meningkat.
“Bagi memastikan kelestarian kewangan, antara pilihan yang sedang dibincangkan ialah peluasan kategori kenderaan wajib diperiksa termasuk kenderaan persendirian atau milik kerajaan, selain semakan kadar bayaran,” jelasnya. – UTUSAN



