Kuala Lumpur: Puspakom Sdn Bhd (Puspakom), perintis industri pemeriksaan kenderaan berlesen negara, mengorak langkah berani dalam evolusi perniagaannya dengan melancarkan GiCheck Lindung-i, sekali gus menandakan kemasukan rasmi syarikat itu ke dalam sektor insurans digital.
Peluasan strategik ini memperlihatkan transformasi Puspakom daripada sekadar penyedia khidmat pemeriksaan khusus kepada pembina ekosistem pemilikan kenderaan menyeluruh yang berteraskan teknologi moden selepas lebih tiga dekad bertapak di Malaysia.
Platform agregator canggih itu kesinambungan kepada pelancaran platform GiCheck pada Januari lalu, yang direka khusus bagi membolehkan pengguna mengakses, membanding dan membeli polisi insurans motor secara masa nyata dengan lebih lancar.
Menerusi GiCheck Lindung-i, pemilik kenderaan kini boleh menguruskan pematuhan sah jalan raya dalam satu perjalanan digital bersepadu, tanpa perlu berdepan kerumitan berurusan dengan pelbagai penyedia perkhidmatan secara berasingan.
Langkah ini dilihat sebagai penyelesaian kepada cabaran utama pengguna di Malaysia yang sering tercari-cari platform telus untuk membandingkan sebut harga serta memilih perlindungan tambahan berdasarkan nilai pasaran kenderaan mereka.
Buat permulaan, platform ini menawarkan perlindungan insurans motor bagi kereta persendirian serta motosikal, merangkumi pelan Komprehensif serta Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian melalui gerbang pembayaran digital yang selamat.
Bagi mengukuhkan kedudukan platform tersebut, Puspakom menjalin kerjasama dengan Zurich Takaful Malaysia Berhad sebagai rakan insurans utama, selain merancang untuk mengintegrasikan beberapa lagi penyedia insurans terkemuka dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menambah baik pengalaman pelanggan melalui integrasi perkhidmatan berkaitan kenderaan dalam satu platform digital yang mudah.
“Kami bukan lagi sekadar pusat pemeriksaan, sebaliknya rakan kepada pengguna sepanjang kitaran pemilikan kenderaan. Pengguna kini boleh mendapatkan perlindungan dengan lebih cepat, sambil memperkukuh kesedaran keselamatan jalan raya,” katanya.
Menariknya, Puspakom turut merancang untuk memperluas penawaran GiCheck Lindung-i kepada produk perlindungan lain seperti insurans perjalanan, kebakaran rumah serta kemalangan diri bagi memberikan nilai tambah kepada pelanggan mereka.
Sempena pelancaran rasmi itu, syarikat turut menawarkan 100 unit model eksklusif “Hot Wheels Monster Trucks die-cast” kepada pelanggan terawal yang membeli insurans menerusi portal berkenaan sebagai sebahagian daripada kempen promosi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




