aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelumba muda negara, Putera Adam Halim, menutup tirai musim perlumbaan Eropahnya dengan penuh bergaya apabila dinobatkan Juara Keseluruhan Kategori PRO dalam Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Europe 2025, sekali gus mencatat sejarah sebagai pelumba Malaysia dan Asia pertama menjuarai kategori paling kompetitif dalam siri berprestij itu.
Aksi mengagumkan pelumba berusia 19 tahun kelahiran Subang Jaya, Selangor itu di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli, Itali, menyaksikan dia menamatkan dua perlumbaan terakhir dengan kemenangan berganda, keputusan yang mengesahkan dominasi dan konsistensinya sepanjang musim.
Mewakili pasukan Vincenzo Sospiri Racing (VSR), Putera Adam mempamerkan kematangan luar biasa dalam musim sulungnya di pentas Eropah apabila mengumpul 114 mata keseluruhan, menewaskan pelumba berpengalaman seperti Enzo Geraci dan Josef Knopp dari Oregon Team serta beberapa pelumba program bakat muda Lamborghini.
Perjalanannya tidak mudah.
Permulaan musimnya bermula suram selepas terbabit dalam kemalangan pada pusingan pembukaan di Paul Ricard, namun semangat juang kentalnya terbukti di Monza, apabila dia dan rakan sepasukan, Paul Levet, bangkit mencipta kemenangan pertama.
Momentum itu diteruskan dengan penamat podium di Spa-Francorchamps, diikuti kemenangan di Barcelona yang mengukuhkan kedudukannya sebagai pencabar utama kejuaraan.
Kemuncaknya di Misano, apabila bermula dari petak keempat, Putera Adam menamatkan kedua-dua perlumbaan di tempat pertama memastikan mahkota juara keseluruhan menjadi miliknya.
“Musim ini penuh cabaran dan pembelajaran. Saya mungkin pelumba paling muda dan kurang berpengalaman di grid, tetapi saya belajar daripada setiap perlumbaan, setiap lap dan setiap kesilapan.
“Gelaran ini untuk Malaysia, keluarga saya dan semua yang menyokong saya sejak awal,” katanya.
Kejayaan Putera Adam turut menghadiahkan pasukannya, Vincenzo Sospiri Racing, gelaran Juara Keseluruhan Pasukan (Team Championship) bagi musim 2025.
Pengarah pasukan, Vincenzo Sospiri, yang juga bekas juara Formula 3000, memuji prestasi anak didiknya itu, menyifatkan Putera Adam sebagai ‘bakat muda luar biasa yang cepat menyesuaikan diri dengan tekanan kejuaraan serta berdisiplin tinggi di luar dan dalam litar’.
Kemenangan bersejarah itu bukan sekadar mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah menjadi bukti bahawa bakat tempatan mampu bersaing dan menakluk dunia perlumbaan elit Eropah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




