Riyadh: Putera Arab Saudi, Al-Waleed, yang digelar ‘Putera Tidur’, meninggal dunia pada Sabtu lalu, selepas hampir dua dekad terlantar dalam keadaan koma. Beliau berusia 36 tahun.
Pemergiannya menamatkan satu episod panjang penuh harapan dan doa, yang menyaksikan keluarganya tidak pernah berputus asa menanti keajaiban.
Putera Al-Waleed dikebumikan dalam satu majlis pada Ahad, yang dihadiri ramai tetamu kenamaan termasuk ahli keluarga diraja.
Menurut NDTV, beliau koma sejak 2005, ketika berusia 15 tahun, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di London, United Kingdom (UK), semasa menuntut di kolej ketenteraan.
Kemalangan itu menyebabkan pendarahan otak yang teruk hingga memaksa beliau bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dan tiub penyusuan sejak hari pertama.
Selama 19 tahun, tubuhnya tidak bergerak, wajahnya tidak berubah, tetapi keluarganya tetap percaya bahawa jiwanya masih “mendengar”.
Setiap ulang tahun kelahirannya pada 18 April disambut dengan penuh doa dan harapan oleh ahli keluarga serta rakyat yang mengenal kisahnya.
Ribuan netizen dari dunia Arab turut menitipkan doa setiap tahun, menjadikan Putera Al-Waleed simbol ketabahan dan kasih sayang tidak bertepi.
Pada 2019, harapan sempat bersinar apabila beliau dilaporkan menggerakkan jari dan menganggukkan kepalanya sedikit, yang dirakam dalam satu video tular.
“Hello,” sapa seorang individu dalam video itu, disusuli respons halus jari Al-Waleed yang mula terangkat perlahan-lahan.
Reaksi kecil itu menjadi momen besar buat bapanya, Putera Khaled, yang selama ini berpegang teguh bahawa hayat anaknya masih panjang.
Beliau dan isteri, Puteri Mona Riad El Solh, enggan menghentikan sokongan hayat biarpun doktor sudah berputus asa sejak lebih sedekad lalu.
Bagi mereka, hidup dan mati bukan di tangan manusia, tetapi hak mutlak Tuhan.
Putera Al-Waleed dirawat sepenuh masa di King Abdulaziz Medical City, Riyadh, dengan pemantauan ketat daripada pasukan perubatan khas.
Beliau ialah anak sulung kepada Putera Khaled dan anak saudara kepada bilionair terkenal, Putera Alwaleed Talal.
Kisahnya menyentuh hati dunia Arab, bukan kerana kemewahan, tetapi kerana kasih ayah yang tidak berbelah bahagi.
Kini, seluruh doa yang pernah dititip akhirnya menjadi reda apabila ‘Putera Tidur’ itu sudah pergi dan seluruh dunia Arab mengenang ketabahannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd