Puteri Sarah mulakan prosiding hina mahkamah, Ira Kazar & keluarga perlu beri jawapan

Puteri Sarah mulakan prosiding hina mahkamah, Ira Kazar & keluarga perlu beri jawapan

Pelakon Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin telah dibenarkan oleh pihak mahkamah untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap madunya, Ira Kazar, kakaknya, Yasmin dan bapanya, Kazaruddin Saisi.

Susulan itu, menurut laporan Berita Harian, Ira Kazar bersama bapa dan kakaknya perlu menjawab kepada Mahkamah Sesyen mengenai tindakan mereka yang telah mengingkari perintah injuksi yang dikeluarkan pada Julai, tahun lalu.

Difahamkan, pada 4 Julai lalu Puteri Sarah telah menerima perintah injuksi yang menghalang Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengannya daripada menjejaskan ketenteraman dan kedamaian diri dan keluarga serta keluarga mentua termasuk suaminya.

Ini bermaksud, Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini Kazaruddin tidak boleh mendekati atau berada dalam jarak 500 meter daripada Puteri Sarah, keluarganya dan keluarga mentuanya, suaminya atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengannya.

Bukan itu sahaja, Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader menjelaskan prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu telah dibenarkan oleh Hakim Norakhmar Mohd Sani serta dihadiri peguam aktres berkenaan, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff.

Jelasnya lagi, mereka akan menyerahkan salinan permohonan komital kepada Ira bagi membolehkan mahkamah untuk menetapkan tarikh.

“Selepas penyampaian permohonan komital disempurnakan, mahkamah akan menetapkan tarikh bagi pihak sana menjawab permohonan kami. Setakat ini, mahkamah belum menetapkan tarikh lanjut,” katanya.

Sekadar info, perintah injuksi dilakukan berhubung dengan tuntutan saman yang difailkan oleh Puteri Sarah terhadap Ira Kazar yag telah menganggu ketenteraman rumah tangganya.

Sebelum ini juga, Puteri Sarah telah memfailkan penceraian terhadap suaminya, Syamsul Yusof dengan alasan tidak dapat hidup bersama lagi kerana tiada persefahaman antara mereka.

Sumber: Berita Harian (Ahmad Johari Mohd Ali)