Pelakon jelita, Puteri Sarah mengakui hatinya kini terbuka untuk berkahwin semula selepas dua tahun melalui fasa hidup sebagai ibu tunggal.
Sarah, 40, berkata, meskipun dirinya pernah melalui pengalaman pahit, itu tidak mematahkan semangatnya untuk kembali mengecap bahagia bersama pasangan hidup.
“Saya tak tahu sama ada saya cukup menginspirasikan daripada kisah lama dahulu terutamanya kepada kebangkitan wanita. Sekarang yang saya mahukan adalah kalau ada jodoh, doakan.
“Semestinya saya mahu ada orang jaga saya, takkan nak ‘single’ sampai ke tua?” katanya ketika ditemui Melodi TV3.
Namun, Sarah menegaskan, dia tidak mahu terburu-buru sebaliknya lebih mengutamakan anak-anak serta dirinya dahulu sebelum memikirkan langkah seterusnya.
“Saya nak ke arah itu (perkahwinan), tapi buat satu persatu. Fokus pada anak-anak, sayangi diri sendiri dulu kemudian baru boleh fikir langkah seterusnya.
“Alhamdulillah, dua tahun saya dah hargai dan buat yang terbaik untuk diri sendiri. Jadi selepas ini doakan pula untuk jodoh saya,” katanya.
Ditanya sama ada perancangan untuk menamatkan status ibu tunggal akan berlaku dalam masa terdekat, Sarah yang kelihatan tersipu malu hanya memohon doa yang baik-baik.
“Insya-Allah, doakan yang terbaik. Benda yang baik saya akan beritahu, tak nak ada fitnah lagi. Bimbang kalau beritahu perkara sama berulang lagi… Jadi saya fikir dulu nak buat apa, nantikan,” ujarnya.
Sebelum ini, Sarah dalam temu bual bersama mStar pernah memaklumkan dia sedang mengenali hati budi aktor dan usahawan tampan Indonesia, Andi Arsyil yang sentiasa ada bersamanya tatkala waktu sedih.
Sarah pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof pada Februari 2014.
Namun, bahtera rumah tangga mereka mula bergolak pada 2022 selepas timbul kontroversi membabitkan orang ketiga.
Pada Januari 2023, Syamsul mengesahkan sudah berkahwin dua dengan Ira Kazar di Thailand, sekali gus mencetuskan kontroversi besar dalam industri hiburan.
Selepas melalui proses panjang, pasangan ini akhirnya sah bercerai talak satu pada 18 April 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 7 dan Sumayyah, 4.
Sumber: Melodi TV3




