
Tengku Ilisha Ameera (dua dari kanan) bersama peserta kejohanan badminton di Kuantan.
KEJOHANAN badminton bagi merebut Piala Tengku Ilisha 2.0 di Dewan Persatuan Badminton Pahang, Kuantan pada Ahad bukan sekadar aktiviti sukan.
Ia menjadi lambang semangat juang buat 10 buah pasukan untuk memburu kejayaan dalam kalangan pemain yang terdiri daripada penduduk KotaSAS.
Malah lebih menarik, penyertaan aktif Puteri Sultan Pahang, Tengku Puteri Raja Tengku Ilisha Ameera Al-Sultan Abdullah menghangatkan lagi suasana pertandingan.
Dalam saingan tersebut, Tengku Ilisha Ameera menyertai pasukan P4 Lakers Z berpasangan dengan Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan Datuk Indera Mohamed Moiz.
Kejohanan edisi kedua yang menawarkan hadiah keseluruhan RM5,000 itu dianjurkan Persatuan Penduduk Springvale Residences (SVRA) dengan penaja utama, Pahang Skills.

Kemeriahan Kejohanan Badminton Piala Tengku Ilisha 2.0 di Kuantan pada Ahad. Foto penganjur
Tengku Ilisha Ameera gembira dengan sambutan yang diberikan dan berharap ia dapat mengeratkan ukhuwah antara komuniti.
“Saya amat berbangga melihat semangat juang dan ukhuwah antara komuniti.
“Kejohanan ini bukan sekadar tentang sukan, tetapi platform menyatukan warga KotaSAS dengan nilai perpaduan, semangat berpasukan dan sihat bersama.
“Saya doakan kejohanan ini terus menjadi acara dwitahunan yang sentiasa dinanti-nantikan penduduk KotaSAS,” katanya.
Juara kejohanan menjadi milik pasukan Azalea yang menewaskan pasukan EVG One 3–1, manakala pasukan SV Stinger dan P3Rimrose berkongsi tempat ketiga.
Dalam pada itu, wakil pasukan Azalea meluahkan rasa gembira dengan kemenangan tersebut.
“Kejayaan diraih hasil latihan berterusan secara berpasukan selain mewujudkan persefahaman dalam kalangan pemain,” katanya.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Pengerusi SVRA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Izudin Muhamad Amin dan Pengarah Eksekutif Pahang Skills, Mahadir Abdul Rafar.