
Khamenei (kiri) bersama Putin dalam satu pertemuan. Foto fail Agensi
MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin mengecam pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei dalam serangan gabungan Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan menyifatkannya sebagai ‘pelanggaran sinis’ terhadap undang-undang antarabangsa serta prinsip asas moral.
Dalam mesej yang disiarkan oleh Kremlin kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada Ahad, Putin mengucapkan takziah atas pembunuhan Khamenei dan memuji beliau sebagai seorang negarawan cemerlang yang memperkukuh hubungan antara Rusia dan Iran.
Kementerian Luar Rusia menyatakan bahawa pembunuhan Khamenei dan pegawai tinggi Iran yang lain telah menimbulkan ‘kemarahan dan kesedihan mendalam’ di Moscow, sambil menegaskan bahawa mereka ‘mengecam sekeras-kerasnya’ tindakan pembunuhan politik dan serangan terhadap pemimpin negara berdaulat.
Pihak kementerian turut menekankan perlunya menghentikan segera permusuhan dan kembali kepada rundingan diplomatik dengan memberi amaran bahawa serangan itu berpotensi mencetuskan krisis yang lebih besar di rantau Asia Barat.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov juga mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi dengan menekankan koordinasi berterusan antara kedua-dua kerajaan.
Hubungan strategik Rusia-Iran diperluaskan tahun lalu melalui perjanjian kerjasama politik, ekonomi dan ketenteraan yang kini menjadi tumpuan utama susulan krisis serantau yang semakin meruncing.
Sebelum ini, Khamenei dilaporkan terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat pada Ahad. – Agensi
Ringkasan AI
- Presiden Rusia, Vladimir Putin mengecam pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, sebagai pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa
- Putin mengucapkan takziah atas pembunuhan Khamenei dan memuji beliau sebagai negarawan yang memperkukuh hubungan Rusia-Iran
- Kementerian Luar Rusia menyatakan pembunuhan tersebut menimbulkan kemarahan dan kesedihan mendalam di Moscow
- Rusia menekankan perlunya segera menghentikan permusuhan dan kembali kepada rundingan diplomatik
- Hubungan strategik Rusia-Iran diperluaskan melalui perjanjian kerjasama yang menjadi tumpuan utama susulan krisis serantau



