
Vladimir Putin. Foto: Agensi
MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan gencatan senjata selama 32 jam dengan Ukraine sempena cuti perayaan Ortodoks Easter, lapor Kremlin.
Tentera Rusia diarahkan untuk mematuhi perintah gencatan senjata bermula jam 4 petang Sabtu hingga Ahad ini.
“Kami menganggap bahawa pihak Ukraine akan mengikuti contoh yang ditunjukkan oleh Persekutuan Rusia,” kata Kremlin dalam kenyataan pada Khamis.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy sebelum ini mencadangkan agar kedua-dua pihak menghentikan serangan terhadap infrastruktur tenaga masing-masing sepanjang tempoh perayaan.
Tawaran itu disampaikan melalui Amerika Syarikat (AS) yang menjadi perantara rundingan antara delegasi Moscow dan Kyiv ketika konflik Rusia-Ukraine kini memasuki tahun kelima.
Bagaimanapun, tiada respons rasmi daripada Ukraine berhubung pengumuman Putin setakat ini.
Tahun lalu, Putin secara unilateral mengisytiharkan gencatan senjata selama 30 jam sempena sambutan Easter, namun kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian tersebut.
Rusia sebelum ini menolak gencatan senjata tanpa syarat selama 30 hari yang dicadangkan oleh AS dan Ukraine sebagai langkah ke arah keamanan, sebaliknya menegaskan perlunya penyelesaian menyeluruh.
Namun, Moscow tetap mengumumkan beberapa gencatan senjata jangka pendek secara unilateral.
Rundingan yang diketuai AS masih belum mencapai kemajuan dalam isu utama.
Keadaan ini disebabkan tumpuan Washington kini beralih kepada konflik di Asia Barat ketika tentera Rusia dan Ukraine terus berperang di barisan hadapan sepanjang kira-kira 800 batu (1,250 kilometer). – Agensi



