Putrajaya pertimbang vaksin 1 dos untuk penduduk di pedalaman

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Kerajaan mempertimbangkan vaksin satu dos seperti CanSino dari China untuk penduduk di pedalaman.

BAGAN SERAI: Kerajaan mempertimbangkan vaksin satu dos seperti CanSino dari China diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman kerana kesukaran untuk mereka datang semula mendapatkan suntikan kedua.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan langkah itu dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan mengambil kira faktor logistik dan lokasi masyarakat di luar bandar.

“Kita boleh beri vaksin jenis ini, terutama mereka yang tinggal di pedalaman dan susah untuk datang mendapatkan suntikan…kerana jika ingin beri dua suntikan, bukan senang. Jadi inilah tujuannya,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-21 Persatuan Veteran ATM Cawangan Bagan Serai.

Ketika ini, vaksin Pfitzer dan Sinovac digunakan dalam program imunisasi tersebut yang memerlukan dua dos suntikan bagi melengkapkan imunisasi.

Dr Noor Azmi Ghazali.

Dalam pada itu, Azmi berkata, suntikan vaksin fasa kedua bagi memutuskan pandemik Covid-19 itu dijangka bermula bulan depan, namun tarikh rasmi belum diputuskan kerana kerajaan mengambil kira keadaan semasa sebelum membuat sebarang keputusan.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, sehingga kini, hampir 500,000 petugas barisan hadapan telah menerima suntikan vaksin dan Kementerian Kesihatan memberi jaminan bekalan vaksin mencukupi dan diterima pada setiap minggu.