redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Usianya baru 12 tahun namun bakat nyanyiannya sudah mendapat perhatian ramai hingga ada yang menyamakan suaranya seperti ratu rock negara, Ella kerana memiliki suara serak basah.
Baru-baru ini pun, video Putri atau nama sebenarnya Putri Nordaniesya Hafirra Mohd All Hafiz membuat persembahan di sebuah acara tular di media sosial.
Meninjau ruangan komen, ramai warganet kagum dengan bakat nyanyian Putri hingga mengatakan dia boleh menjadi pelapis Ella.
Menurut Putri, dia bersyukur dengan pujian diterima dan berterima kasih kepada mereka yang menghargai serta mengagumi bakatnya.
“Cuma kalau boleh, saya nak jadi diri sendiri walaupun ada netizen cakap suara sama macam Kak Ella.
“Ada yang kata saya tiru suara Kak Ella dan mulanya ‘down’ juga tapi sekarang sudah okay.
“Saya akan cuba nyanyi dengan gaya tersendiri dan berharap akan jadi penyanyi terkenal serta berjaya satu hari nanti,” katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu, ibunya, Noradizah Masir, 37, berkata, dia dan suami, Mohd All Hafiz Othman, 41, mula sedar bakat serta kecenderungan Putri dalam bidang nyanyian sejak anak mereka berumur lima tahun.
Sebagai ibu, dia memberi sokongan dan galakan untuk Putri yang juga anak bongsu daripada empat beradik mengasah lagi bakatnya dengan menyertai pertandingan nyanyian.
“Kami pun minat menyanyi jadi selalu bawa Putri ke pusat karaoke dan daripada situ nampak dia berbakat dalam nyanyian.
“Putri suka nyanyi genre rock dan slow rock antaranya lagu Nike Ardilla, Shima juga idolanya, Ella. Waktu umurnya 10 tahun, Putri mula nyanyi di depan khalayak ramai dan masuk pertandingan nyanyian.
“Kali pertama masuk dapat tempat keempat kemudian banyak bergelar juara, terbaru Juara Bintang Kecil Perak. Setakat ini, lebih 10 pertandingan sudah disertainya,” katanya.
Noradizah yang menetap di Batu Kurau, Perak berkata, Putri juga sudah menerima undangan menyanyi sejak tahun lalu dan dia akan menemani anaknya itu ke lokasi persembahan kerana bertindak sebagai pengurus.
Katanya, memandangkan Putri masih bersekolah, dia hanya akan mengambil tawaran membuat persembahan pada hujung minggu manakala Jumaat sebelah petang atau malam pula bergantung keadaan.
“Bukan hanya saya dan suami malah kami satu keluarga beri galakan kepada Putri kerana tahu minatnya.
“Cuma sebagai ibu, saya tetap titik beratkan pelajarannya kerana itu lebih utama jadi pada hari sekolah, Putri akan bersekolah macam biasa.
“Saya tak nak dia hebat menyanyi di atas pentas tapi ketinggalan dalam pelajaran kerana mahu Putri jadi penyanyi berilmu,” katanya.
Berhubung populariti dikecapi anaknya di media sosial, Noradizah bersyukur kerana ramai menghargai bakat Putri yang akan keluar dengan single pertama tidak lama lagi.
“Tapi biasalah, ada juga kecaman diterima dan netizen kata suaranya macam Ella. Itu pandangan mereka kerana bagi saya, tak sama 100 peratus pun cuma mungkin nampak persamaan sebab suara Putri jenis yang serak basah.
“Apa pun saya akan sokong Putri kerana dia anak saya dan doa dia berjaya dalam apa jua bidang diceburi serta tak lupa diri nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




