Putus cinta, lelaki redah gunung enam hari tanpa makanan

Putus cinta, lelaki redah gunung enam hari tanpa makanan
Xiaolin ditemui selepas enam hari meredah kawasan pergunungan tanpa makanan, air dan telefon bimbit.

Xiaolin ditemui selepas enam hari meredah kawasan pergunungan tanpa makanan, air dan telefon bimbit.

ZHEJIANG, CHINA – Seorang pemuda di China sanggup meredah kawasan pergunungan selama enam hari tanpa makanan, air dan telefon bimbit demi melupakan bekas teman wanitanya.

Tindakan itu mencetuskan operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran oleh pihak berkuasa tempatan.

Timbalan Ketua Balai Polis Yuhang, Zhu Liliang berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki dari Hunan mengenai kehilangan adiknya, Xiaolin, yang tidak dapat dihubungi selama tiga hari ketika bekerja bersendirian di Hangzhou.

Menurutnya, kali terakhir Xiaolin berhubung dengan abangnya adalah pada 19 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan di rumah sewanya mendapati unit tersebut kosong manakala telefon bimbit milik Xiaolin ditinggalkan.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Xiaolin keluar berjalan kaki dari rumah pada 20 Jun dan kali terakhir dikesan berada di kawasan Gunung Dalang sekitar jam 1 pagi keesokan harinya,” katanya seperti dilaporkan South China Morning Post.

Susulan itu, lebih 100 anggota polis bersama penduduk tempatan digerakkan untuk mengesan lokasi lelaki berkenaan.

“Operasi turut melibatkan penggunaan anjing pengesan, dron serta peranti sonar, namun gagal menemui sebarang petunjuk,” jelasnya.

Bagaimanapun, Xiaolin akhirnya dikesan pada 26 Jun menerusi rakaman CCTV di sebuah taman di Daerah Lin’an dalam keadaan pakaian koyak dan lusuh.

Liliang berkata, Xiaolin bertindak masuk ke kawasan pergunungan untuk menenangkan fikiran selepas putus cinta dengan berjalan kaki dari Xianlin ke Fuyang, kemudian ke Zhongtai dan akhirnya tiba di Lin’an, sejauh kira-kira 40 kilometer.

“Dalam tiga hari pertama, dia dipercayai tidak makan dan tidak minum. Namun selepas keletihan, dia mula memakan buah liar serta minum air dari aliran gunung untuk bertahan,” katanya.

Xiaolin turut mengakui kesilapannya kepada pihak polis dan menyesal kerana menimbulkan kebimbangan terhadap keluarganya, sekali gus berjanji untuk tidak bertindak terburu-buru lagi.

Scroll to Top