Putus hubungan dengan Korea Utara tak jejas ekonomi

Putus hubungan dengan Korea Utara tak jejas ekonomi

bhnews@bh.com.my

JELI: Tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia tidak menjejaskan ekonomi dan perdagangan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata hubungan ekonomi yang membabitkan negara itu dengan Malaysia amat kecil dan dijangka tidak memberi impak besar.

“Kesan kita jangka tidak akan ada sebab (hubungan) dari segi ekonomi agak kecil.

“Hubungan kita sikit sangat dan boleh dikatakan langsung tiada, memang tidak menjejaskan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Laporan semalam menyatakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia hasil tindak balas terhadap keputusan mahkamah Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat (AS) yang menghadapi tuduhan pengubahan wang haram, awal bulan ini.

Terdahulu Mustapa hadir dalam majlis penyerahan projek siap Pejabat Kesihatan Daerah Jeli yang menelan kos sebanyak RM14.9 juta yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Mengenai kejadian jambatan gantung runtuh di Lata Keding, Jeli tengah hari semalam, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli menyifatkan perkara itu adalah sesuatu yang serius kerana membabitkan keselamatan orang ramai.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya dan sudah berhubung dengan Ketua Jajahan Jeli, Nik Raisnan Daud, untuk memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Saya dimaklumkan seramai lima pengunjung cedera dalam kejadian itu dan sudah mendapatkan rawatan di Hospital Jeli sebagai pesakit luar.

“Destinasi rekreasi itu masih dibuka seperti biasa cuma kawasan sekitar pembinaan jambatan gantung yang ditutup,” katanya.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari semalam, kira-kira 10 pengunjung terjatuh ke dalam anak sungai apabila jambatan gantung sepanjang 40 meter yang sedang dalam pembinaan tiba-tiba runtuh dipercayai akibat tidak dapat menampung kapasiti pengunjung yang berlebihan.

Tinjauan hari ini mendapati lokasi rekreasi itu masih dikunjungi pengunjung seperti biasa namun tidak menghampiri kawasan pembinaan malah tiada juga yang mandi-manda dalam anak sungai di bawah jambatan gantung itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, hasil siasatan mendapati kabel yang menyambungkan jambatan gantung itu tercabut menyebabkan lebih 10 pengunjung yang berada dia atas jambatan itu terjatuh ke dalam anak sungai setinggi 4.5 meter.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada pemilik lokasi rekreasi terbabit namun akan membuat siasatan lanjut berhubung kejadian itu sama ada ia membabitkan kecuaian atau perkara lain.

“Kami difahamkan pemilik tidak membuat permohonan bagi pembinaan fasiliti tambahan dan pihaknya akan dipanggil manakala lima mangsa yang cedera juga akan diambil keterangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top