Istanbul: Algeria mengumumkan pada Khamis bahawa ia akan menutup ruang udaranya kepada pesawat awam dan tentera yang berdaftar di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula tengah malam 11 September, susulan keputusannya memutuskan hubungan diplomatik dengan negara itu.
Anadolu Ajansi (AA) melaporkan Kementerian Pertahanan memaklumkan langkah itu terpakai kepada semua pesawat awam dan tentera berdaftar UAE yang melakukan penerbangan ke atau dari negara itu.
Keputusan itu bagaimanapun tidak terpakai kepada penerbangan komersial awam UAE yang beroperasi dari dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Houari Boumediene di Algiers, yang dibenarkan meneruskan operasi sehingga akhir 2026 apabila kontrak berkenaan tamat, menurut kementerian itu.
Algeria pada awal Khamis mengumumkan bahawa negara itu memutuskan hubungan dengan UAE dan memberi tempoh 48 jam kepada duta UAE untuk mematuhi keputusan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

