QA komited wujudkan pangkalan data bagi memudahkan akreditasi

KUALA LUMPUR –  Dalam usaha memudahkan urusan akreditasi dalam kalangan negara Islam, Association of Quality Assurance Agencies of the Islamic World (IQA) komited untuk mewujudkan pangkalan data umum.

Presiden IQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata, inisiatif berkenaan akan diusulkan kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi memudahkan pengiktirafan institusi dan program pengajian tinggi antara ahli IQA.

Katanya, selain beliau, perkara itu sudah dipersetujui oleh tiga ahli lembaga pengarah IQA iaitu Prof. Dr. Olgun Cicek, Prof. Dr. Muhsin Kar dan Dr. Mustafa Efe.

“Kita akan menulis secara rasmi kepada OIC berkenaan perkara ini supaya inisiatif ini dapat segera dilaksanakan.

“Perkongsian senarai institusi dan program yang diiktiraf oleh badan jaminan kualiti dalam jaringan IQA akan memudahkan negara ahli untuk menyemak dan mengiktiraf institusi serta kelayakan terbabit di negara masing-masing,” katanya.

Khairul Salleh (kanan) dan Olgun Cicek menunjukkan peta Malaysia di ibu pejabat YOK di Ankara, Turkiye.

Beliau berkata demikian ketika dalam rangka lawatan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran bagi menyelesaikan isu akreditasi program pengajian pelajar Malaysia di Turkiye, baru-baru ini.

Lawatan berkenaan berjaya menyelesaikan isu terbabit selepas mengadakan pertemuan dengan badan akreditasi negara itu iaitu Majlis Pengajian Tinggi Turkiye (YOK).

Mengulas lanjut, Khairul Salleh yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, berkata pengwujudan pangkalan data dalam kalangan ahli IQA merupakan satu langkah ke hadapan bagi membolehkan mobiliti pelajar di negara Islam berlangsung.

“Selain itu, usaha ini juga akan menambah baik proses semakan kesetaraan kelayakan kerana tidak lagi perlu melalui semakan yang biasanya memakan masa lama,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Comment