aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelumba muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan terus membuktikan kematangan lebih awal daripada usia apabila mengekalkan prestasi konsisten dalam saingan ESBK Talent Cup.
Malah, dia turut mengintai peluang untuk melakar pencapaian lebih besar di pentas dunia di Kejuaraan Dunia FIM MiniGP.
Dengan baki tiga pusingan membabitkan enam perlumbaan dalam saingan ESBK, Qabil tekad memastikan kesihatannya kekal berada di tahap terbaik bagi menghadapi baki cabaran musim ini.
“Insya-Allah saya akan jaga kesihatan dan terus sihat untuk baki perlumbaan ini.
“Saya akan tingkatkan lagi latihan bagi persiapan tiga pusingan terakhir supaya boleh terus kekal di hadapan,” katanya.
Setakat ini, Qabil sudah merekodkan empat kemenangan termasuk satu perlumbaan yang berlangsung sengit di Sepang, sekali gus meletakkannya di tangga teratas carta keseluruhan dengan 173 mata.
Pencabarnya, Izan Rodriguez dari Sepanyol di tempat kedua (124) dan pelumba Switzerland, Alessio Arnold (120) ketiga selepas tamatnya perlumbaan di Navarra.
Manakala Qabil mengumpul 150 mata dalam FIM MiniGP Malaysia.
“Saya rasa saingan dengan pencabar lain memang sangat sengit. Mereka sangat agresif dan laju, jadi memang bukan mudah untuk saya terus berada di depan.
“Tapi saya jadikan itu cabaran untuk terus perbaiki diri.
“Alhamdulillah, segala-galanya berjalan sangat baik untuk saya setakat ini dan jika dibandingkan dengan tahun lalu, ini adalah musim terbaik saya,” jelasnya.
Meskipun terpaksa berulang-alik antara Malaysia dan Eropah, Qabil menegaskan perkara itu tidak menjadi penghalang untuk kekal fokus kerana pasukannya, Frando Racing VHC Team Liqui Moly sentiasa memberikan yang terbaik.
“”Bagi saya, ulang-alik ke Malaysia dan Eropah tak ganggu pun. Itu perkara biasa.
“Apa yang penting sekarang adalah fokus kepada latihan dan bersedia untuk setiap perlumbaan,” katanya.
Selain ESBK, Qabil yang turut beraksi dalam kejohanan MiniGP berharap dapat menjuarai semua perlumbaan yang ditawarkan di FIM MiniGP Malaysia.
Kejohanan itu menjadi tiket ke Kejuaraan Dunia FIM MiniGP yang dijadual berlangsung di Sepanyol.
© New Straits Times Press (M) Bhd