
Qabil sedar lawannya sudah mula meneliti gaya tunggangannya yang sering membuat serangan pada pusingan terakhir. Foto ZK Racing
PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan mengakui perlu mengubah corak tunggangan bagi mengelak strateginya mudah dibaca pencabar menjelang Pusingan Kelima Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 di Litar de Navarra, Sepanyol dari 29 hingga 31 Ogos ini.
Pelumba berusia 13 tahun dari Terengganu itu tampil cemerlang di litar sama pada pusingan keempat sebelum ini apabila menjuarai Perlumbaan Satu selain menamatkan Perlumbaan Dua di tempat keempat.
Namun, Qabil sedar lawan-lawannya sudah mula meneliti gaya tunggangannya yang sering membuat serangan pada pusingan terakhir.
“Minggu ini saya akan berlumba semula di Litar Navarra. Ramai pelumba kini sudah tahu strategi saya yang biasanya menyerang pada pusingan akhir. Jadi, untuk pusingan kali ini saya perlu ubah pendekatan.
“Buat masa ini saya masih mendahului kedudukan keseluruhan dan saya akan berusaha mengekalkan momentum sehingga ke pusingan akhir nanti,” katanya yang mewakili pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly.

Qabil mahu ubah strategi tunggangan menjelang Pusingan Kelima ESBK 2025 di Litar de Navarra. Foto ZK Racing
Qabil kini mengumpul 173 mata hasil empat kemenangan dan tiga kali naib juara daripada lapan perlumbaan.
Pencapaian itu membolehkan Qabil mendahului carta keseluruhan Kategori ESBK Talent dengan kelebihan 49 mata mengatasi pencabar terdekat, Izan Rodriguez dari Sepanyol (124 mata), manakala pelumba Switzerland, Alessio Arnold di tempat ketiga (120 mata).
Sementara itu, Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin yakin Qabil mampu menyesuaikan diri dengan strategi baharu sambil mengekalkan konsistensi di Sepanyol.
“Persiapan kami seperti biasa, Qabil menjalani latihan di Terengganu bersama ayahnya dan bersama ZK Racing di Sepang. Walaupun persiapan sudah di fasa akhir, saya yakin dengan kemampuan Qabil untuk terus kompetitif.
“Harapan kami dia dapat tampil dengan strategi lebih baik, berjuang untuk kemenangan dan mengekalkan kedudukan teratas di Navarra,” katanya.
Kejohanan ESBK musim ini membabitkan tujuh pusingan, dengan Litar de Navarra menjadi gelanggang berturut-turut bagi pusingan keempat dan kelima.