Pelakon dan pengacara Qi Razali, 48, berkongsi hasrat untuk menimang cahaya mata selepas mendirikan rumah tangga bersama jurusolek Wardah Hayati pada Mei lalu.
Qi berkata, keinginan untuk bergelar bapa semakin kuat seiring dengan usianya yang meningkat.
Pelakon filem Babah ini mendedahkan dia sering membayangkan saat-saat indah membesarkan anak dengan penuh kasih sayang.
“Saya memang berharap dikurniakan zuriat, lebih-lebih lagi bila umur pun makin meningkat. Kadang saya terbayang saat menghantar anak ke kelas muzik, tengok dia membesar depan mata.
“Buat masa ini saya ambil langkah perlahan-lahan. Kalau ada rezeki, saya sangat bersyukur,” katanya kepada XTRA.
Qi ditemui pada majlis pengumuman Top 5 Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) baru-baru ini.
Berkongsi tentang kehidupannya selepas bergelar suami, bekas pemain dram kumpulan OAG itu mengakui perkahwinan kali ini memberi pengalaman berbeza dan mengajarnya untuk lebih memahami makna sebenar tanggungjawab.
“Syukur, hidup saya sekarang terasa lebih lengkap. Tanggungjawab sebagai suami kali ini jauh lebih besar, tapi dalam masa yang sama memberi ketenangan.
“Saya percaya pengalaman lalu banyak mendewasakan saya. Kini saya dan isteri lebih saling memahami, dan yang paling penting, saya boleh jadi diri sendiri tanpa perlu berpura-pura,” katanya.
Qi dan Wardah, 30, disatukan dalam sebuah majlis tertutup di Gopeng, Perak pada 25 Mei lalu.
Dalam perkembangan kerjaya, Qi turut mencipta satu lagi kejayaan apabila tersenarai dalam Top 5 Pelakon Lelaki Terbaik di FFM34 menerusi lakonannya dalam filem Babah.
Dalam filem itu, Qi membawa watak Isyak, seorang bapa yang berdepan masalah pendengaran.
Antara calon lain yang bersaing dalam kategori tersebut termasuk Beto Kusyairy (Reversi), Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).




